Malaysia Dateline

Kadir Jasin tulis pengalaman pribadi keluarganya di’kafir’kan Pas

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin mendedahkan bagaimana keluarganya pernah ‘dikafirkan’ oleh Pas semata-mata kerana mereka menyokong Umno pada tahun 1969 dahulu.

Menerusi Facebooknya, bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu berkata, para penyokong Pas itu datang ke rumah mereka sambil menangis dan solat hajat agar mereka kembali menjadi orang Islam dengan menolak Umno dan menyokong Pas.

“Tahun 1969 seluruh keluarga saya “dikafirkan” oleh penyokong Pas kerana kami menyokong Umno.

“Mereka datang ke rumah kami dalam “kempen teriak (menangis)” sambil solat hajat supaya kami kembali jadi orang Islam dengan menolak Umno dan menyokong Pas,” katanya.

Bagaimanapun,pada waktu itu, katanya, belum ada lagi amanat yang dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikenali ‘Amanat Haji Hadi’.

Amanat itu berbunyi:

Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.”

Dalam tulisannya juga Kadir berkata, kepakaran Pas adalah berdolak-dalik mengenai kegagalannya dengan mencampur-adukkan dalil dan alasan politik.

Ia telah mendapat komen yang begitu banyak di kalangan penyokong dan penentang penyataan beliau di dinding Facebook beliau itu.

Antara mereka ada yang menceritakan apa yang berlaku di kampung mereka berhubung dengan perkata itu.

Mohd Yassin menulis, “Ya betul tuan kampung saya, di tahun 80an ada 2 imam… Umno ada kematian puak Pas tak datang..ada surau Pas .ada imam Umno…sengal la”

Ahmad A Ba Ta pula menulis, “Pak Lebai pun terperangkap dengan SISTEM yang salah, sehinggakan sanggup mengkafirkan sesama Islam. Itulah cabaran Pak Labai di dalam SISTEM yang salah ini.

“Diharap Pak Labai dan pengikut-pengikutnya pun bertaubat berkenaan isu kafir mengkafir ini.”