Malaysia Dateline

Kadir letak jawatan Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat

Perletakan jawatan beliau dipercayai ada kaitan dengan siasatan polis terhadap kenyataan beliau mengenai Raja-raja Melayu.

Datuk A Kadir Jasin meletakkan jawatan sebagai ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Council of Eminent Persons berkuatkuasa serta-merta.

“Ini adalah semata-mata keputusan saya demi mengelak kekeliruan di kalangan anggota masyarakat berkaitan peranan saya dalam Majlis tersebut serta pandangan saya di dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Perletakan jawatan beliau dipercayai ada kaitan dengan siasatan polis terhadap kenyataan beliau mengenai Raja-raja Melayu serta kritikan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Menurut Kadir, sebagaimana yang ditegaskan dalam mukadimah blog beliau, segala pendapat yang beliau zahirkan di dalamnya adalah pendapat beliau semata-mata.

“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan beliau terus mengaitkannya dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Council of Eminent Persons.

“Bagi mengelak kesipuan (embarrassment) kepada Majlis dan percanggahan kepentingan di pihak saya maka saya memohon untuk mengundur diri dan ini telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis, Tun Daim Zainuddin,” katanya.

Kadir mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada beliau.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada petugas Unit Media dan Komunikasi di atas ketekunan dan kerja kuat mereka.

“Saya akan terus menyumbang bakti kepada tanah air kita yang tercinta ini dan rakyat jelatanya dengan cara terbaik yang saya ketahui, iaitu menerusi mata pena saya,” katanya.