Kaedah pengampunan Diraja, PRK bolehkan Anwar jadi PM ke-7, kata Rafizi

PKR tetap berpendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon terbaik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri ke-7, sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU14 nanti.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, walaupun Anwar masih berada di penjara namun parti itu ‘ada cara’ untuk menjadikan beliau perdana menteri yang seterusnya.

“Persoalan siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang: jawapan kami adalah jelas, Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan menang adalah Anwar Ibrahim.

“Kaedah Pengampunan Diraja ada walaupun nampak sukar tetapi rakyat tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil.

“Kaedah ini ada digunakan dalam kes-kes ehsan untuk membebaskan pesalah, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia satu kes fitnah yang jelas oleh musuh politik beliau yang mahu menghentikan kemaraan rakyat menuntut perubahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sahabat-sahabat di dalam DAP dan Amanah pernah bersetuju agar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri interim (mewakili Anwar Ibrahim) sementara usaha pembebasan Anwar Ibrahim dilakukan melalui kaedah pengampunan diraja.

“Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dengan cara ini dan sebulan kemudian terus bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil sebelum mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)