Kaedah pengukuran CIDB diiktiraf standard kebangsaan

Kaedah pengukuran CIDB diiktiraf standard kebangsaan

Standard pengukuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk mengelakkan percanggahan dan ketidakpastian dalam senarai kuantiti telah diiktiraf kerajaan sebagai Standard Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, CIDB berkata Ukuran Kaedah Piawai Kejuruteraan Awam Malaysia (MyCESMM) yang mengandungi kaedah pengukuran yang selaras merangkumi beberapa kategori seperti kerja, penerangan dan spesifikasi yang diiktiraf sebagai MS 2701:2018 oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk mencapai standard industri pembinaan tempatan agar setanding dengan ekonomi maju dan mencapai satu daripada petunjuk prestasi utama yang ditetapkan di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) kerajaan,” menurut lembaga tersebut.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang melancarkan dokumen itu di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini berkata kerajaan mengiktiraf penggunaan kaedah pengukuran yang selaras sebagai langkah penting untuk mengantarabangsakan amalan pembinaan di Malaysia.

“MyCESMM digunakan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam industri. Pelancaran  MS 2701:2018 hari ini menandakan langkah seterusnya ke arah pembangunan MyCESMM sebagai standard industri.

“Kini MS 2701:2018 merupakan standard kebangsaan yang boleh digunakan dalam semua projek di negara ini.

“Ia menyepadukan pelbagai spesifikasi yang sebelum ini wujud dalam pasaran Malaysia dengan menggabungkan amalan terbaik industri di seluruh negara,” katanya.

Pengiktirafan MyCESMM sebagai Standard Malaysia diraih selepas sekian lama dirundingkan dan proses kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri, agensi teknikal serta institut pengajian tinggi.

Loading...

Menurut CIDB, pengenalan MS 2017:2018 adalah satu daripada inisiatif utama untuk mencipta budaya berkualiti tinggi dan profesionalisme dalam industri pembinaan Malaysia sekali gus meningkatkan kualiti amalan pembinaan di negara ini ke tahap antarabangsa.

“Ia akan meningkatkan daya saing pengamal pembinaan di Malaysia di pasaran global, sejajar hasil yang digariskan teras strategik pengantarabangsaan CITP,” katanya.

— BERNAMA