KAFA diteruskan, mutu pendidikan agama di Johor dipertingkat

KAFA diteruskan, mutu pendidikan agama di Johor dipertingkat

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan hari ini menjawab soalan dari Adun Tanjung Surat berkenaan dengan penambahbaikkan pendidikan agama di negeri ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan dalam sesi soal jawab sidang Dun dengan menyatakan bahawa penambahbaikkan itu berlaku bukan secara drastik.

Menurutnya, hal tersebut membabitkan penukaran kitab serta perubahan kurikulum pendidikan yang membabitkan empat peringkat.

“Kurikulum yang terbabit adalah, Tahap Tadika Islam Johor, Sekolah Agama Tahap 1, Tahap 2 dan Darjah Khas.

“Kurikulum ini telah berlangsung pada tahun 2018. Selain itu, ia bertujuan mempertingkatkan penguasaan dan kemahiran murid dalam bidang pembacaan dan penulisan jawi.

“Pencapaian dan kualiti hafazan Al-Quran dan hadith pilihan. Memperkenalkan kemahiran asas taranum Al-Quran dan Barzanji serta pembaharuan mata pelajaran berasaskan kitab Matla’ Al Badrain, risalah Tauhid dan tasawuf.

“Pratikal amalan lazim yang popular di Johor seperti Yassin, tahlil, doa, wirid dan lain-lain. Pendidikan akhlak juga diterapkan dalam perubahan ini,” jelasnya.

Dalam jawapan tersebut, sekali lagi Kerajaan Negeri telah menegaskan bahawa pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) tetap diteruskan.

Ia menafikan secara langsung dakwaan yang digembar gembur oleh pihak pembangkang selama ini bahawa pendidikan KAFA telah dihentikan oleh pihak kerajaan.

“Pendidikan KAFA akan terus diraikan serta dipertingkatkan tidak ada niat sedikit untuk kita menghentikan pendidikan ini.

“Kerajaan juga akan menerapkan penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah agama,” ucapnya lagi.

Menjawab soalan tambahan berkenaan dengan adakah panel yang dilantik ini adalah dari kalangan ahli akademik berkelayakkan.

Beliau menjawab lantikan untuk ahli panel membabitkan ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan perseorangan yang layak.