KAFA perlu teliti pilih pemain bagi Liga M musim depan

KAFA perlu teliti pilih pemain bagi Liga M musim depan

Persatuan Bola Sepak  Kelantan (KAFA) harus teliti dalam  pemilihan pemain terutamanya pemain  import bagi menghadapi saingan  Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas pemain Kelantan era 90-an  Anizan Daud berkata perkara itu perlu dilakukan oleh KAFA khususnya ketua  jurulatih Yusri Che Lah supaya  pemilihan pemain  import  tidak  seperti  yang dimiliki oleh  pasukan  pada musim ini yang  boleh merugikan persatuan itu.

“KAFA dan Yusri Che Lah perlu belajar dari kesilapan musim ini  apabila  mahu mengambil pemain import, contohnya musim ini  hampir  5 sehingga  7 pemain import yang diambil oleh  KAFA secara  bertukar  ganti akibat tiada kualiti dan kecderaan.

“Jangan beli pemain import hanya melihat kepada video atau  hanya mendapatkan  maklumat  melalui ejen-ejen pemain import yang bakal  diambil untuk menyarungi jersi The Red Warriors (TRW), habiskan duit sedikit untuk tengok dengan mata sendiri,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama di sini, hari ini.

Pada saingan  Liga-M musim depan Yusri  Che Lah diberikan tanggungjawab  sepenuhnya  oleh KAFA bagi  memilih pemain import dan tempatan  bagi memperkuatkan  pasukan Kelantan.

Anizan berkata KAFA juga  tidak  cuma  memberikan tanggujawab  kepada Yusri  Che Lah diatas  kertas sebaliknya  kuasa  untuk memilih pemain   dilakukan oleh pihak lain.

“Berikan kuasa penuh kepada dia (Yusri Che Lah) untuk memilih dan kenalpasti pemain untuk diadukan  bersama perancangan dan kemahiran dimilikinya , jauhi sikap ‘tangan ghaib’ dalam  aspek  ini sekiranya tidak mahu rugi  ketika  mendapatkan pemain  import.

“Budaya  itu (tangan ghaib) yang selalu menghancurkan bola sepak kerana pihak tersebut bukan mahu menyediakan  perkhidmatan pemain yang berkualiti namun lebih kepada mengambil keuntungan,” katanya.

Katanya pemilihan  pemain yang berkualiti penting  berikutan KAFA  mempunyai misi untuk kembali beraksi pada saingan Liga  Super  pada tahun 2020 setelah terpaksa beraksi  pada saingan Liga Premier musim depan.

“Pilih pemain yang ada kemampuan untuk membantu pasukan,  lihat secara terperinci pemain yang bakal diambil, pastikan mereka tidak berada dalam kecederaan dan pastikan pasukan Kelantan bukan tempat mereka untuk singgah bagi memulihkan kecederaan,” katanya.

— BERNAMA