Kafir harbi: 13 soalan untuk Timbalan Presiden Pas

Kafir harbi: 13 soalan untuk Timbalan Presiden Pas

“Kafir yang memusuhi Islam itu harbi, kafir yang bernaung di bawah pemerintahan Islam itu zimmi, kafir yang buat perjanjian dengan kerajaan Islam itu ‘ahdi”.

Saya fokuskan takrifan kafir harbi di atas mengikut Timbalan Presiden Pas seperti yang direkod oleh Harakahdaily. Bagi saya, takrifan yang diberi terlalu longgar dan simplistik.

Takrifan kafir harbi secara polos (tidak lengkap dan padat) yang hanya dikaitkan dengan memusuhi Islam merisikokan ramai warganegara Malaysia terdedah kepada halal darah untuk ditumpah dan harta untuk dirampas.

Saya ada beberapa soalan kepada Timbalan Presiden Pas, dan soalan ini merujuk kepada konteks Malaysia pada masa kini.

1. Siapakah penentu seseorang kafir itu harbi atau bukan? Adakah parti politik, individu atau institusi agama rasmi?

2. Jika penentunya adalah institusi agama rasmi, siapakah yang sudah difatwakan sebagai kafir harbi di Malaysia? Jika ada, sebutkan namanya.

3. Individu kafir yang sudah difatwakan kafir harbi oleh pemerintah hendaklah diperangi. Apakah wujud undang-undang yang membolehkan mereka diperangi? Jika ada, apa nama akta atau enakmen itu?

4. Apakah kaedah yang diguna untuk menentukan seseorang kafir atau sekumpulan kafir sebagai kafir harbi? Adakah melalui masuk parti tertentu, atau bagaimana?

5. Jika dikata masuk parti tertentu menjadi kafir harbi, bagaimana dengan orang Islam yang menyertai parti itu? Adakah orang Islam itu dikira kafir harbi juga?

6. Apa maksud memusuhi Islam? Adakah menolak hudud, menolak RUU 355? Atau membahaskan pelaksanaan hudud dari sudut perlembagaan dikira memusuhi Islam juga?

7. Adakah jika seseorang Muslim menolak Islam dalam versi yang Pas mahu (versi hukum hudud) dikira setaraf dengan kafir harbi? Jika tidak, apa status orang Islam sebegitu? Halal darah atau tidak?

8. Orang kafir di Malaysia mematuhi pemerintah dengan membayar cukai. Mematuhi pemerintah adalah menepati ajaran Islam. Pada masa yang sama dia tidak bersetuju dengan hudud dari sudut perlembagaan. Adakah dia dikira kafir harbi, sedangkan dia taat kepada pemerintah?

9. Jika penentuan kafir harbi boleh dibuat oleh suatu pihak (misalnya Pas) tetapi individu atau kumpulan yang dikafirharbikan oleh Pas itu tidak dihukum kafir harbi oleh pihak lain, atau oleh kerajaan, adakah dikira kafir harbi atau bukan?

10. Begitu pula, jika pihak yang tidak dikafirharbikan oleh Pas, tetapi dikafirharbikan oleh pihak lain, adakah dikira kafir harbi atau bukan?

11. Jika puak yang dimaksud kafir harbi oleh Pas ialah DAP misalnya, kerana kononnya DAP menentang Islam mengikut acuan Pas, bagaimana dengan MCA yang menentang hudud? Kafir harbi atau tidak?

12. Dalam sejarah kegunaan istilah kafir harbi, istilah itu merujuk kepada mereka yang bukan warganegara kepada negara Islam. Adakah orang kafir yang menjadi warganegara Malaysia adalah kafir harbi sedangkan Malaysia negara Islam?

13. Soalan terakhir, Timbalan Presiden Pas kata, dalam al-Quran dan hadis ada istilah kafir harbi. Boleh beri tahu ayat al-Quran mana dan hadis mana yang menyebut istilah itu?

Sesiapa yang berminat untuk tambah soalan, silakan.

 

* Penulis merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH. Tulisan di atas petikan dari akhbar Mingguan Amanah, Bil 172.