Kafir harbi 2.0, Persediaan BN hadapi Pilihanraya Umum tahun ini?

Kafir harbi 2.0, Persediaan BN hadapi Pilihanraya Umum tahun ini?

Belum sempat selesai BN merayakan kemenangan dalam dua Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kini, lidah rasmi mereka Utusan digunakan sekali lagi menyerang Pakatan Harapan khususnya DAP dengan mengsensasikan semula isu kafir harbi.

Serangan ini dilakukan tatkala BN berasa puas hati dan percaya imej mereka telah pulih prestasinya berdasarkan keputusan dua pilihanraya kecil 18 Jun lalu. Apa yang pasti, tomahan jahat terhadap DAP ini adalah serangan yang sama sebelum Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

Realitinya, perkara ini sengaja ditimbulkan untuk memberi tekanan terhadap Pakatan Harapan yang baru sahaja ditubuhkan setelah musnahnya Pakatan Rakyat; selain satu percubaan berani memesongkan wacana sebenar rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Isu ‘Kafir Harbi 2.0’ ini adalah isu serupa dengan Pilihanraya Umum ke-13 lalu, apa yang berlaku adalah serangan hebat talam dua muka parti-parti komponen BN terhadap PR.

Di saat pengundi bandar dilihat beralih sokongannya dari MCA kepada DAP yang bekerjasama dengan Pas dan PKR, parti Cina itu (MCA) bertungkus lumus menakut-nakutkan masyarakat Cina supaya menolak DAP atas sebab DAP diperkudakan oleh Pas.

Dalam masa yang sama, UMNO pula bekerja keras menabur dakyah jahat kepada pengundi Melayu untuk menolak Pas dan PKR dengan menuduh dua parti itu menjadi tunganggan DAP.

Apa yang berlaku saat ini serupa dengan apa yang pernah dilakukan oleh BN sebelum Pilihanraya Umum ke-13 lalu yang menyaksikan BN berada di tahap yang begitu lemah di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; malahan, slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan-pencapaian diutamakan’ tidak mampu menarik pengundi untuk kembali kepada BN.

Sekarang, isu ini meledak kembali dengan wajah pakatan pembangkang yang baharu; Pakatan Harapan. Tujuannya mudah; untuk pecah-belahkan pakatan baharu ini yang dilihat ancaman terbesar survival politik BN. Sudah tentu, BN tidak lagi keseorangan-Pas kini cenderung diperalatkan dengan mudah oleh mereka.

Oleh kerana apa yang berlaku saat ini saling tak tumpah dengan serangan sebelum pilihanraya umum yang lalu, mungkinkah BN sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihanraya umum ke-14 dalam masa terdekat?

COMMENTS

Wordpress (0)