Kafir Harbi: Wan Ji gesa polis siasat Mufti Pahang

Kafir Harbi: Wan Ji gesa polis siasat Mufti Pahang

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda PKR Wan Ji Wan Hussin hari ini membuat laporan polis terhadap Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kenyataannya menyifatkan DAP sebagai kafir harbi kerana menentang hukum Islam.

Beliau menggesa pihak polis menyiasat Abdul Rahman kerana bimbang kenyataan tersebut menjurus ke arah kumpulan militan IS.

“Kenyataan mufti Pahang sama dengan amalan (kumpulan militan) IS, yang biasa melabel mereka yang berbeza fahaman sebagai anti-Islam dan kafir harbi. Kami yang cintakan keamanan tidak mahu elemen IS berlaku di Malaysia.

“Polis perlu melihat perkara ini dengan serius. Jika ia (amalan IS) gagal ditangani di peringkat awal, kita bimbang ia akan merebak dengan lebih besar,” kata beliau kepada pemberita di IPD Dang Wangi pagi tadi.

Abdul Rahman dilaporkan sebagai berkata, politik kebencian yang diamalkan DAP jika berterusan dibimbangi boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

Ini kerana DAP, katanya tergolong sebagai ‘kafir harbi’ kerana menentang pelaksanaan hukum hudud dan terkini menentang Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Pindaan) 2016 yang dibentangkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Mei lalu.

Kandungan laporan polis Wan JiWan Ji turut menyeru lebih ramai golongan agama termasuk mufti negeri, bersuara membantah kenyataan Abdul Rahman.

“Pihak agamawan memandang berat kenyataan ini. Saya harap mufti lain mengambil tindakan yang sama seperti mufti Perlis ini,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP Lim Lip Eng yang turut bersama Wan Ji berharap pemimpin parti komponen BN dapat membawa perkara ini ke Kabinet.

“Saya harap mereka tidak bermain politik dengan menghentam kenyataan mufti di media sahaja. Saya nak tanya sama ada mereka telah atau akan bawa isu ini ke kabinet,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)