Kafirkah saya? Mahathir soal Tuan Ibrahim

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengulas rencana beliau mahu persoalan asas mengenai isu dakwaan kafir diberi tumpuan.

“Yang saya sedih dan marah ialah apabila Pas mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong Pas.

“Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam dan mereka yang dikafir marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam.

“Tuan Ibrahim tidak menyentuh perkara ini sama sekali,” tulis beliau dalam blognya hari ini.

Keengganan Tuan Ibrahim memberi jawapan kepada persoalan ini bermakna beliau bersetuju dengan dakwaan Pas bahawa saya dan lain-lain orang Melayu yang tidak menyertai Pas adalah kafir.

“Yang tidak menyertai Pas ini ramai termasuk raja-raja kita pun tidak menyertai Pas.

“Sudah tentu orang Islam yang seramai 1.7 bilion diseluruh dunia, mengikut dakwaan Pas adalah kafir,” katannya.

Pengkafiran inilah katanya, akan memecah belah orang Melayu Islam yang percaya dan mengikut amalan agama Islam yang sama dan mengucap dua kalimah syahadah dan berada dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam kepada Imam Shafei.

“Yang saya katakan ialah sebelum adanya Pas tidak ada perpecahan disebabkan kelainan agama di kalangan orang Melayu Islam.

“Hanya apabila Pas ditubuh dan mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti politik Pas, barulah orang Melayu Islam berpecah sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, berkuburan berasingan dan bermusuh ketat antara orang Pas dengan orang bukan Pas.

“Kenyataan saya ini tidak boleh dipertikai oleh sesiapa.

“Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku, dan ia berlaku kerana Pas menidakkan Islamnya orang Umno dan juga orang lain yang tidak menyertai Pas,” katanya.

“Oleh kerana Tuan Ibrahim tidak sentuh soal mengkafir orang yang bukan ahli Pas, di bawah ini saya kemukakan soalan-soalan berkenaan perkara ini supaya Yang Berbahagia Tuan Ibrahim dapat faham kandungan utama rencana saya,” katanya.

Beliau seterusnya menyenaraikan soalan berikut untuk timbalan presiden Pas itu menjawab dengan jelas tanpa perlu berdolak dalih.

“Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai Pas tidak Islam.

“Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya Pas.

“Apakah ibu bapa orang Pas kafir kerana dilahir sebelum adanya Pas.

“Apakah Pas tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP.

“Mengikut Pas, Umno kafir. Jika Pas bekerjasama dengan Umno apakah Pas menjadi kafir.

“Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?

“Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir.

“Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah 4 orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan Kerajaan kafir?,” soalnya.

Satu persoalan besar katanya, apakah orang yang terpelajar dalam agama Islam seperti Tuan Ibrahim, orang yang mendakwa diri mereka ulama, apakah mereka terima dakwaan Pas bahawa orang yang tidak menyertai Pas menjadi kafir.

“Jika mereka terima maka bukan sahaja orang Umno, dan sekarang ini orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kafir, mufti-mufti Kerajaan dan Raja-raja Melayu turut jadi kafir jika tidak Pas.

“Tuan Ibrahim sendiri boleh buat kenyataan bahawa dalam dunia ini hanya mereka yang menyertai Pas sahaja yang beragama Islam.

“Apabila seseorang memasuki agama Islam, maka ia mesti sebut keahlian dalam Pas sebelum ia diterima memeluk agama Islam.

Beliau berkata Pas tak usah lari dari soal pengkafiran ini.

“Jelaskan dengan tegas benar atau tidak orang yang tidak menyertai Pas kafir,” katanya.