Kagat sentiasa tingkatkan aspek spiritual ‘combat power’ anggota ATM, kata Mohamad

Kagat sentiasa tingkatkan aspek spiritual ‘combat power’ anggota ATM, kata  Mohamad

Aspek spiritual ‘combat power’ terutama bagi anggota yang berada di kawasan operasi, sedang dan telah dilaksanakan secara berperingkat oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata latihan tersebut telah dilaksanakan melalui Program Dakwah Kawasan Operasi (Prodaksi) dalam usaha meningkatkan aspek spiritual ‘combat power’ melibatkan anggota di kawasan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pantai timur Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Aspek tersebut antara lain akan menyemai semangat juang atau jihad dalam kalangan warga ATM. Ia seiring dengan misi Kagat untuk meningkatkan tahap profesionalisme ATM melalui Pendidikan Islam dan Perkhidmatan Keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu sejauh mana peranan Kagat dalam menyumbang terhadap pembangunan modal insan terutama dalam aspek spiritual ‘combat power’, pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamad berkata selain program itu, pihaknya turut melaksanakan Program Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI) 561, Program Operasi Perisai Akidah dan Kursus Pendidikan Islam dan Fardu Ain (PIFA).

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat membuat modul yang lebih tersusun, Mohamad berkata Kagat sentiasa terlibat dalam program di peringkat antarabangsa dalam usaha menambah baik modul yang diguna pakai dari semasa ke semasa.– BERNAMA