“Kahwin ada lagu, cerai pun ada?”, netizen terkejut Fattah-Fazura lancar lagu duet baru

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas pasangan selebriti terkenal iaitu Fattah Amin dan Nur Fazura dilaporkan bakal melancarkan lagu duet baharu ketika kes penceraian mereka masih menjadi topik perbincangan hangat.

Pelancaran lagu baharu berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’ itu diumumkan oleh sebuah syarikat rakaman menerusi satu hantaran di akaun media sosial Instagram rasmi mereka, @hits_records.

Dalam hantaran sama, syarikat rakaman dari Indonesia itu turut berkongsi ‘teaser’ atau sedikit sedutan lagu duet yang bakal dilancarkan di platfrom muzik terkenal pada 10 Oktober ini.

Lagu yang mendapat sentuhan komposer tempatan iaitu Ippo Hafiz itu difahamkan sudah lama dirakam oleh kedua-dua pelakon terbabit ketika mereka masih bergelar suami isteri.

Tinjauan di ruangan komen Instagram syarikat rakaman itu mendapati rata-rata pengguna mengakui terkejut dengan khabar tersebut memandangkan mereka baharu sahaja bercerai.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa lagu duet itu tidak sesuai dilancarkan dalam tempoh terdekat terutama pada waktu ini berikutan kes penceraian mereka masih hangat diperkatakan.

“Kahwin ada lagu. Cerai pun ada lagu, haih,” kata seorang pengguna Instagram yang kesal sambil mengenangkan lagu duet pernah dilancarkan oleh Fattah dan Fazura sebelum mereka berkahwin dan bercerai.

“Lewat sangat dilancarkan. Tidak bertahan sudah. Doalah yang baik-baik untuk mereka berdua,” kongsi pengguna lain mendoakan bekas pasangan suami isteri itu tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Terdahulu, perkahwinan pasangan selebriti terkenal itu terlerai selepas tujuh tahun berumah tangga apabila disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, semalam.

Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin dilaporkan telah melafazkan talak satu berkenaan di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh sekitar jam 9.45 pagi.

Isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah sebelum ini hangat diperkatakan apabila pasangan itu sudah lama tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam akaun media sosial masing-masing.

Fazura bagaimanapun menafikan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangganya sambil menjelaskan bahawa khabar tersebut hanyalah andaian malah hubungannya dengan Fattah baik-baik sahaja.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Fazura tiba-tiba memfailkan perceraian terhadap Fattah sehari sebelum ulang tahun kelahiran suaminya yang bertarikh 14 September.

Butiran lanjut mengenai permohonan cerai juga tidak diperincikan malah Fattah turut mengakui terkejut apabila menerima berita mengenai pemfailan cerai itu melalui media sosial.

Baca juga: Belum reda kes Fattah, Fazura, netizen terkejut Emma Maembong dedah sudah bercerai