Kahwin bawah umur: Cadangan Mufti Sabah bantutkan usaha atasi masalah sosial

Kahwin bawah umur: Cadangan Mufti Sabah bantutkan usaha atasi masalah sosial

Cadangan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar (gambar) agar umur bagi perkahwinan orang Islam iaitu 14 tahun bagi wanita dan 16 tahun bagi lelaki mendapat reaksi yang hebat.

Seorang Pensyarah dan penyelidik di Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg berkata pelaksanaan cadangan itu akan membantutkan usaha untuk mengatasi masalah sosial dan aktiviti tidak bermoral.

Peningkatan perkahwinan melibatkan gadis bawah umur sedikit sebanyak berpunca oleh kitaran kemiskinan tetapi tidak dinafikan kebanyakannya juga disebabkan oleh aktiviti tidak bermoral, katanya.

“Idea untuk merendahkan umur bagi sesebuah perkahwinan kepada umur 14 tahun jelas menunjukkan ketidakpekaan pihak yang terlibat mengenai pentingnya pendidikan asas pada peringkat awal umur,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, ia boleh menjadi satu keputusan yang tergesa-gesa pada ketika meningkatnya masalah sosial dan kes tidak bermoral di seluruh negara pada masa sekarang.

“Pandangan yang dinyatakan mengenai isu itu tidak mewakili pandangan majoriti rakyat sehubungan dengan peningkatan isu tidak bermoral melibatkan gadis bawah umur,” kata Dr Romzi.

Beliau menyentuh kes ramai gadis bawah umur dipaksa berkahwin lelaki dewasa yang bekerja kerana mereka telah mengandung.

“Keizinan bagi gadis bawah umur untuk berkahwin kemungkinan besar akan meningkat memandangkan perkahwinan kanak-kanak bukanlah sangat kerana tekanan oleh kemiskinan tetapi kebanyakannya oleh aktiviti tidak bermoral yang tidak mampu dikawal lagi,” katanya.

Kementerian Kesihatan pada Isnin mengumumkan bantahannya terhadap cadangan Mufti Sabah untuk menurunkan umur pasangan yang ingin berkahwin.

“Timbalan Menteri Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana remaja belum mencapai kematangan dalam fizikal dan saikologi.

“Dari segi kesihatan, adalah tidak wajar remaja berkenaan mengandung pada ketika rahim mereka masih belum cukup kuat untuk mengandungkan bayi dan dibimbangi akan mengancam nyawa kepada ibu dan bayi yang dikandung.

“Secara saikologi pula, mereka akan menghadapi cabaran dan tekanan untuk mengendalikan kerja-kerja rumah pada usia yang muda. Mereka masih seorang kanak-kanak, Adakah anda mahu melihat seorang kanak-kanak membesarkan seorang lagi kanak-kanak” soal beliau.

Bungsu berkata, perkahwinan awal perlu dibenarkan kerana “anak-anak sekarang amat matang dan mudah terjebak dalam seks awal”.

COMMENTS

Wordpress (0)