Malaysia Dateline

Kahwin budak 11 tahun, peraih getah sedia di siasat

“Saya bersedia disiasat mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 kerana mengahwini isteri ketiga,” kata peraih getah yang berkahwin dengan budak berusia 11 tahun di Selatan Thailand, baru-baru ini.

Peraih getah berusia 41 tahun percaya, dia tidak melakukan kesalahan mengikut agama Islam kerana sudah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa agama di Selatan Thailand.

“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak yang menyiasat perkara ini dan jika benar berlaku pelanggaran undang-undang saya sedia menerima hukuman.

“Walau apapun berlaku, saya tidak akan berpisah dengan isteri ketiga.” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya, hari ini, seperti di lapor Mymetro.

Lelaki itu berkata, setakat ini sudah banyak pihak menemuinya bersama kanak-kanak yang juga isteri ketiganya serta mentuanya, tetapi belum dimaklumkan dakwaan mahkamah yang bakal dihadapinya.

“Walaupun sudah berkahwin, saya berjanji hanya untuk tinggal bersama dengannya lima tahun lagi, iaitu ketika isteri mencapai umur 16 tahun. Saya juga sudah mendapat nasihat jurunikah Thailand berhubung perkara ini,” katanya.

Isu pernikahan peraih getah yang mempunyai enam anak hasil pernikahan isteri pertama dan kedua itu menjadi perbualan ramai selepas mengahwini budak berusia 11 tahun sebagai isteri ketiga, pada 18 Jun lalu.

Perkara itu terbongkar selepas pernikahannya di masjid di Sungai Golok, Selatan Thailand, didedahkan oleh isteri keduanya menerusi Facebook (FB).

Semalam, pasangan itu bersama ibu bapa mereka juga dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi bagi mendapatkan penjelasan.

Dalam kenyataan, Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Zaini Sulaiman pula menyebut peraih getah itu boleh didakwa ke Mahkamah Syariah kerana melakukan kesalahan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002.

Mengikut Seksyen 19 dan 23 Enakmen berkenaan, peraih itu boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 yang dikuatkuasa di semua negeri, usia minimum bagi lelaki untuk berkahwin adalah 18 tahun dan bagi perempuan adalah 16 tahun.