Kain rentang tanpa bahasa Melayu akan diganti, kata Manogaran

Kain rentang tanpa bahasa Melayu akan diganti, kata Manogaran

 

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M.Manogaran memberi jaminan akan menggantikan kain rentang kempen yang tidak menggunakan bahasa Melayu.

Menurutnya, PH berpegang kuat kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

“Kita tiada niat untuk mengabaikan bahasa kebangsaan. Itu pendirian kita.

“Kita mengakui peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di pasar pagi Kuala Medang, Lipis pagi tadi.

Peguam itu berkata demikian ketika diminta mengulas gambar kain rentang kempen PRK Cameron Highlands berbahasa Tamil dan Cina tanpa bahasa Melayu yang tular di media sosial.

“Mungkin kesilapan di pihak jentera (pilihan raya) kita. Kita akan ganti. Kalau ada aduan kita akan ambil tindakan. Tiada masalah,” jelasnya.

Ditanya tentang lokasi sebenar kain rentang itu, beliau memberitahu, hanya dipasang di Tanah Rata.

“Kawasan itu ramai pengundi Cina dan India. Kain rentang itu bukan dipasang di lokasi majoriti pengundi Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang berpendapat tanpa sikap rasisme pemasangan kain rentang isu tidak harus menjadi isu.

“Inilah masalahnya. Semua isu mahu dilihat daripada segi perkauman,” tambahnya lagi.