Kaitkan pemimpin DAP dengan komunis fitnah jahat ‘tentera siber’ Umno, bidas Kit Siang

Kaitkan pemimpin DAP dengan komunis fitnah jahat ‘tentera siber’ Umno, bidas Kit Siang

DAP mengutuk fitnah jahat yang disebarkan melalui sebuah carta ‘Keluarga Komunis Malaysia’ mengaitkan beberapa pemimpin tertinggi parti dengan pemimpin komunis Malaya, mendiang Chin Peng.

Walaupun carta itu bersifat kebudak-budakan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu sejarah serta mudah dipengaruhi telah percaya dengan propaganda berbaur perkauman tersebut, lapor Roketkini.

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, fitnah itu merupakan satu pembohongan terdesak ‘tentera siber’ Umno terhadap lawan politik mereka.

“Pembohongan yang dilakukan cybertrooper Umno ini sama sekali tidak benar. Ini merupakan sebuah tindakan terdesak dan manifestasi ‘kebankrapan politik’ Najib Razak dan cybertrooper memburukkan lawan mereka,” kata beliau ketika berucap di majlis makan malam bersama DAP Pulau Pinang di Georgetown, kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, pembohongan seperti ini dipercayai akan terus giat disebarkan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kemelut yang sedang berlaku dalam negara.

Dengan itu, beliau berharap rakyat Malaysia lebih bijak untuk membezakan mana satu yang benar dan yang fitnah dari media sosial dan internet.

Carta fitnah “Keluarga Komunis Malaysia” yang disebarkan itu menunjukkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng; bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, dan Kit Siang sebagai sepupu dan kononnya mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin DAP lain seperti Teresa Kok, Ngeh Koo Ham, Nga Kor Ming, Anthony Loke, Tony Pua dan Lim Guan Eng.

TAGS