Kaitkan pertahanan negara dengan DAP, Pemuda Umno dibidas main politik sempit

Kaitkan pertahanan negara dengan DAP, Pemuda Umno dibidas main politik sempit
Khairuddin Daud

Satu hantaran Facebook milik Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kelmarin disifatkan sebagai cuba mengheret pertahanan negara dalam kancah politik sempit Umno.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Sabah, Khairuddin Daud berkata demikian yang merujuk kepada kemaskini Pemuda Umno itu yang mempersoalkan kredibiliti Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Liew Chin Tong.

Katanya, Asyraf dilihat dengan sengaja cuba mengheret pertahanan negara dalam politik sempit yang mengaitkan segala perkara dengan parti Dap.

“Anak muda sebenarnya sudah masak dengan permainan politik Umno-Pas ini yang mengaitkan segala macam perkara di negara ini dengan Dap.

“Saya menzahirkan rasa simpati kepada beliau kerana barangkali Ketua Pemuda Umno ini baru keluar dari pertapaan. Baru minggu lepas Menteri Pertahanan diwawancara berkenaan Kempen Tabung Pahlawan dalam slot Borak Kopitiam di TV3.

“Dengan panjang lebarnya Yb Mohamad Sabu menerangkan dasar dan inisiatif Kementerian Pertahanan dalam membantu para perajurit negara menerusi Kempen Tabung Pahlawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Khairuddin yang juga bekas Ketua Pemuda negeri itu, dalam wawancara berkenaan, Mohamad turut menjelaskan keamanan yang dikecapi hari ini telah membantu meningkatkan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia hasil daripada pengorbanan anggota pertahanan negara.

“Kalaupun Ketua Pemuda Umno itu tidak mahu menghargai jasa para perajurit negara dan pentadbiran negara yang berusaha sedaya upaya memastikan keamanan di negara ini, janganlah sewanang-wenangnya mengheret pertahanan negara ke kancah politik sempit Umno,” tegasnya.

Semalam, Asyraf dalam akaun rasmi Facebooknya mempersoalkan siapa sebenarnya Menteri Pertahanan Negara dengan melampirkan beberapa artikel menunjukkan timbalan kementerian itu yang menjawab tentang polisi pertahanan negara.

“Nampaknya Pengarah Strategik Dap merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong lebih menyerlah dan menonjol dalam berwacana mengenai dasar-dasar dan polisi-polisi pertahanan negara. Apa pendapat semua?,” sebutnya.