Malaysia Dateline

Kajang, Klang catat kes baharu Covid-19 tertinggi di Selangor

Mukim Kajang yang terletak dalam daerah Hulu Langat merekodkan kes baharu positif Covid-19 tertinggi di Selangor dengan 49 kes hari ini.

Kesemuanya penularan tempatan yang melibatkan Kluster Hentian dan Kluster Kaya yang masing-masing mula dikenal pasti pada 19 Oktober dan 24 Oktober.

Kes-kes bagi Kluster Hentian yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan PKPD mencatatkan 10 kes, saringan pekerja (6) dan saringan kontak dengan satu kes.

Sehingga hari ini, jumlah kes Covid-19 dalam Kluster Hentian mencecah 347 kes yang turut meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Bagi Kluster Kaya, kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan kontak tiga kes dan saringan bergejala satu kes.

Dalam masa sama, mukim Kajang turut mengesan 17 kes hasil saringan kontak rapat dan 11 kes hasil saringan pekerja.

Sementara itu, Klang mengenal pasti 36 kes baharu Covid-19 sekali gus muncul sebagai mukim kedua tertinggi merekodkan kes aktif pandemik tersebut.

Daripada 36 kes baharu itu, 34 daripadanya penularan tempatan manakala dua lagi kes import.

Kes di mukim Klang dalam daerah Klang itu mencatatkan 18 kes hasil saringan kontak dalam Kluster Usaha yang mula dikenal pasti pada 1 November lalu.

Terdapat satu kes dikesan masing-masing hasil saringan bergejala dan saringan pekerja dalam kluster tersebut.

Bagi Kluster Keladi yang mula dikesan pada 17 Oktober lalu menyaksikan pertambahan satu kes hari ini hasil saringan kontak.

Selain kes melibatkan kedua-dua kluster itu, 11 kes dikesan hasil saringan pekerja manakala saringan bergejala dan kontak rapat masing-masing mencatatkan satu kes.