Malaysia Dateline

Kaji balik SOP, benarkan masjid dan surau diimarahkan

Kerajaan diminta mengkaji balik SOP untuk Covid -19 bagi membolehkan masjid dan surau boleh diimarahkan semula sebagaimana pasar dan padang permainan boleh digunakan semasa wabak penyakit ini.

Ini kerana, jika di pasar, warung, padang permainan dibenarkan untuk orang ramai bebas bergerak, masjid dan surau juga perlu dihidup dengan SOP tertentu.

Sehubungan dengan itu, Pas disindir agar memainkan peranan mereka bagi membolehkan masjid dan surau boleh dihidupkan dengan SOP tertentu.

Jamzuri ArdaniAktivis politik, Jamzuri Ardani (gambar) membuat sindiran tajam kepada Pas mengenai perkara ini melalui tulisan di facebook beliau.

“SOP Covid Zaman Lebai,” tulis Jamzuri dalam posting beliau.

“Di pasar ada ramai manusia membeli belah. Di pasaraya juga begitu.

“Di padang mainan anak-anak muda bermain seperti biasa.

“Di tempat kerja manusia terus bekerja. Di warung-warung dan restoran, manusia makan minum.

Namun kata beliau, “Di surau dan masjid hanya cicak-cicak bertasbih memuji kebesaran Yang Maha Pencipta.”

Tidak sebagaimana negeri lain yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), negeri Johor yang kurang pengaruh Pas membenarkan masjid dan surau di buka dengan SOP tersendiri.

Johor mengekalkan kebenaran solat Jumaat dan solat jemaah fardu lima waktu serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata kebenaran itu hingga 6 Disember ini.

“Sultan Johor sebagai Ketua Agama Negeri juga memperkenankan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas untuk menunaikan Solat Jumaat dan solat jemaah fardu lima waktu di masjid dan surau di negeri ini mulai esok,” katanya semalam.