Malaysia Dateline

Kaji dulu, sama ada Melaka jadi representasi PRU atau tidak, kata Khairy

Susulan kemenangan BN di Melaka, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin meminta parti itu mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk bergerak secara solo pada pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini kerana katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah menyaksikan hanya 65 peratus pengundi yang keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi.

Katanya, dengan keputusan semalam untuk BN bergerak secara solo di PRU nanti ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi,” kata beliau dipetik Bernama.

Khairy turut meminta BN memikirkan sama ada keputusan di PRN Melaka merupakan representasi kepada PRU atau tidak.

Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka pada Sabtu.

“Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP). Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baharu, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,”jelasnya.