Malaysia Dateline

Kaji pemprosesan makanan dalam projek Taman Rimbunan Kasih

Industri pemprosesan makanan merupakan antara sektor yang bakal dikaji untuk pelaksanaannya dalam usaha membangunkan semula Taman Rimbunan Kaseh di Serkam, Jasin dekat sini yang terbengkalai sejak Mei tahun lepas, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata cadangan berkenaan dilakukan berikutan sektor pertanian dan perikanan di kawasan tanah seluas 6.07 hektar itu tidak lagi mampu untuk menampung keperluan tenaga kerja bagi 70 peserta terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin yang tinggal di bawah projek itu.

Adly Zahari

“Bagi sektor pertanian dan perikanan, paling ramai pekerja yang boleh terlibat hanya 22 orang sahaja sedangkan kita ada 70 peserta dan cadangan untuk melaksanakan industri pemprosesan makanan adalah satu pilihan yang terbaik kerana kita mahu semua terlibat sama dalam projek ini.

Kita masih lagi membuka tawaran kepada mana-mana syarikat swasta yang mahu menjalinkan kerjasama dalam projek ini, sekali gus membantu meningkatkan taraf kehidupan peserta,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun Melaka di Kompleks Seri Negeri  pada Selasa.

Beroperasi pada 2013, Taman Rimbunan Kaseh merupakan projek pembangunan kawasan luar bandar secara mampan bagi golongan asnaf dan fakir miskin dengan menyediakan rumah dilengkapi kemudahan asas serta disokong dengan pelbagai aktiviti pertanian berteknologi tinggi.

Projek bernilai RM24 juta di kawasan berkeluasan 14.164 hektar itu mempunyai dua bahagian pembangunan iaitu kawasan perumahan seluas 8.094 hektar dan 6.07 hektar untuk pertanian dan perikanan.

Sebelum ini, pembangunan infrastruktur dan pengurusan projek berkenaan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta serta sebuah jabatan kerajaan  dan antara punca projek tersebut dihentikan sehingga terbengkalai dipercayai kerana kegagalan syarikat sebelum ini menguruskan projek berkenaan.

Pada 22 Februari lepas, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membuat keputusan untuk membangunkan semula projek berkenaan pada Jun ini bagi membela nasib golongan asnaf dan fakir miskin yang bekerja di taman itu.

Adly berkata bagi membantu 70 peserta meringankan beban susulan kegagalan projek berkenaan beroperasi dalam tempoh kira-kira 10 bulan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM478,900 bagi perbelanjaan makanan, bantuan persekolahan anak dan sumbangan wang tunai sejak Mei tahun lepas.

Menurut beliau dalam tempoh yang sama juga, kerajaan negeri turut memberikan penangguhan bayaran sewa rumah sebanyak RM100 kepada peserta selain membenarkan mereka bekerja di luar kawasan projek sehingga pihak MAIM melantik syarikat baharu untuk mengambil alih projek tersebut.-BERNAMA.

.