Malaysia Dateline

Kaji Selidik TSIS: Calon BN dijangka menang di Tanjung Piai

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan menjangkakan parti Barisan Nasional (BN) akan memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada PRK kali ini.
Jangkaan itu dibuat menerusi satu kaji selidik bebas yang bertajuk ‘Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi Dalam PRK Tanjung Piai’, melibatkan 300 responden yang merupakan pengundi berdaftar dalam PRK Tanjung Piai pada 7, 8 dan 9 November ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman, 300 orang responden yang dipilih secara rawak itu adalah representatif kepada komposisi sebenar pengundi.
“Perincian butiran mereka adalah, 58.7 peratus Melayu, 40.0 peratus Cina dan 1.0 peratus India berbanding komposisi sebenar pengundi iaitu 57.6 peratus Melayu, 41.4 peratus Cina dan 0.9 peratus India, manakala 54.3 peratus adalah lelaki dan 45.7 peratus (perempuan) berbanding komposisi sebenar pengundi 50.5 peratus lelaki dan 49.5 peratus perempuan.
“Seterusnya, 16.3 peratus adalah berumur 21-30 tahun, 20.3 peratus (31-40 tahun), 18.0 peratus (41-50 tahun), 21.0 peratus (51-60 tahun) dan 24.3 peratus 61 tahun ke atas, berbanding komposisi sebenar pengundi 15.1 peratus (21–30 tahun), 22.8 peratus (31-40 tahun), 20.7 peratus (41-50 tahun), 18.7 peratus (51- 60 tahun) dan 22.6 peratus adalah 61 tahun ke atas.
“Dapatan-dapatan utama kaji selidik ini menunjukkan bahawa calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, dijangka akan menang dalam PRK Tanjung Piai pada Sabtu ini berdasarkan kepada penolakan pengundi Tanjung Piai kepada Pakatan Harapan (PH) serta penerimaan mereka kepada Muafakat Nasional (MN) dan kepada calon BN itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, Dr Wan berkata, petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH boleh dilihat dalam dapatan utama kaji selidik, iaitu 51.0 peratus responden menyatakan PH tidak perlu terus diberi peluang untuk memerintah berbanding 28.3 peratus responden yang menyatakan PH perlu terus diberi peluang untuk memerintah.
“Petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH juga boleh dilihat dalam dapatan-dapatan utama lain kaji selidik seperti 68.3 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia, berbanding 20.7 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di negara kita.
“60.7 peratus responden pula menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Johor, berbanding 20.0 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di Johor.
“Selain itu, 58.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara, berbanding 28.7 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara.
“Seterusnya, 57.0 peratus responden menyatakan kehidupan mereka tidak bertambah baik selepas PH memerintah, berbanding 21.0 perautus responden yang menyatakan kehidupan mereka bertambah baik selepas PH memerintah.
“Manakala, 55.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka, berbanding 31.3 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka.
“50.0% responden pula menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara berbanding 35.3% responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, petanda sangat jelas mengenai penerimaan pengundi Tanjung Piai kepada MN boleh dilihat dalam satu lagi dapatan utama kaji selidik, iaitu 52.7 peratus responden menyatakan MN menyenangkan mereka, berbanding 4.0 peratus responden yang menyatakan MN menakutkan mereka.
Menurut Dr Wan, petanda juga sangat jelas mengenai penerimaan pengundi Tanjung Piai kepada calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan ia boleh dilihat dalam dapatan-dapatan utama lain kaji selidik.
“Antaranya 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi adalah calon BN, Dr Wee Jeck Seng, berbanding 24.0 peratus responden yang menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi adalah calon PH, Karmaine Sardini.
“Seterusnya, 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon BN, Dr Wee Jeck Seng, berbanding 24.0 peratus responden yang menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon PH, Karmaine Sardini.
“56.7 peratus responden pula menyatakan Ahli Parlimen Tanjung Piai dari BN 2008-2018, Dr Wee Jeck Seng, adalah lebih baik prestasinya, berbanding 19.7 peratus responden yang menyatakan Ahli Parlimen Tanjung Piai dari PH 2018-2019, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, adalah lebih baik prestasinya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Wan berkata, jangkaan kemenangan calon BN dijangka akan memperkukuhkan kerjasama antara Pas dan BN sekali gus meluaskan penerimaan Muafakat Nasional dalam kalangan bukan Melayu.