Kaji semula pelaksanaan AES, utamakan kebajikan rakyat

Kaji semula pelaksanaan AES, utamakan kebajikan rakyat

Sekretariat Protes AES (ProtAES) menggesa Kementerian Pengangkutan supaya mengkaji semula pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) secara keseluruhannya agar pelaksanaan sistem ini mencapai objektifnya untuk mengurangkan kemalangan maut di jalan raya tercapai tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Faiz Fadzil, ProtAES konsisten dengan pendiriannya bahawa pelaksanaan AES bukan satu-satunya langkah bagi mendisiplinkan pengguna jalan raya.

Malah katanya, pelaksanaan AES sejak awal lagi mempunyai pelbagai permasalahan.

“Bermula pelaksanaannya pada September 2012 dan kemudiannya dijenamakan semula pada April 2017 dengan AWAS dan Sistem Dimerit, isu berkaitan AES tidak pernah reda.

“Daripada 14 lokasi kamera yang kemudiannya bertambah kepada 21, isu AES tidak dapat ditangani secara holistik.

“Harus diketahui sebelum ini pelaksanaan AES melibatkan perjanjian antara syarikat pengendali terdahulu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates (M) Sdn Bhd dengan Kementerian Pengangkutan,” jelasnya.

Tegas Faiz lagi, kemudian pengendaliannya diambil alih oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan nilai RM555 juta.

Namun begitu katanya, kini ia telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan.

“ProtAES berpandangan bahawa pendidikan melalui kempen dan iklan mempromosikan langkah-langkah keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan sebagai salah satu langkah berkesan untuk mengurangkan kemalangan.

“Manakala rakyat pula perlu dididik supaya benar-benar berdisiplin dalam pemanduan serta pentingnya menyelenggara kenderaan dalam keadaan baik.

“Pemanduan laju semata-mata bukannya punca kemalangan, sebaliknya sikap, disiplin pemanduan, fokus dan kesegaran memandu serta tidak cuai antara elemen hubung kait yang amat penting dalam memastikan pemanduan yang selamat, ” ujarnya.

Selain itu tambahnya, kebanyakan kamera yang dipasang dijalan raya atau lebuh raya yang lurus dengan had kelajuan 70-90 km/j yang mana tidak praktikal untuk mengurangkan kemalangan, malahan boleh mengundang kemalangan apabila pemandu membrek secara mengejut di lokasi yang adanya pemasangan kamera tersebut.

“Tidak dapat dinafikan risiko kemalangan akan bertambah tinggi apabila ia melibatkan jalan raya atau lebuh raya yang mempunyai bilangan kenderaan yang padat seperti di susur keluar Kajang di Lebuh Raya Utara Selatan.

“Majoriti pemandu akan memandu lebih laju setelah melepasi kamera yang dipasang serta tidak mendidik pengguna untuk mematuhi had laju yang ditetapkan.

“Pelaksanaan dua kali hukuman iaitu bayaran saman atau kompaun yang tidak diberikan diskaun serta pemotongan mata demerit di bawah sistem AWAS melanggar prinsip ‘double jeopardy,” katanya lagi.

Kesan daripada sistem demerit ini katanya, adalah penggantungan dan pembatalan lesen memandu sekiranya mata demerit melepasi had yang ditetapkan.

Hukuman itu tegasnya, membebankan pengguna yang bergantung kepada kenderaan sendiri dan kesan kehilangan pendapatan bagi pemandu kenderaan awam termasuk pemandu teksi, bas dan lori.

“Pelaksanaan AES ini turut mempunyai kesan terhadap kos sara hidup rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Walau bagaimana pun harus disedari bahawa pelaksanaan AES bertentangan dengan maqasid syariah yang bukan sahaja berpremiskan elemen nyawa tetapi juga harta.

“Sehubungan itu protAES memohon Kementerian Pengangkutan mengkaji semula secara keseluruhan pelaksanaan AWAS dan menggantung dahulu pelaksanaannya dengan memberi keutamaan bagi meningkatkan pendidikan keselamatan pemanduan di jalan raya dengan mengutamakan kebajikan rakyat,” kata Faiz lagi.