Malaysia Dateline

Kaji semula pencen kepada ahli politik elak terima banyak jenis pencen

Cadangan untuk memansuhkan skim pencen sepertimana yang hangat diperkatakan tatkala ini harus dikaji semula dengan sebaik mungkin, tegas Naib Ketua III AWAN Nasional, Aida Yusof.

Menurutnya, kaedah dan mekanisme yang lebih praktikal harus dicari bagi memastikan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang merasakan mereka dianiayai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran Rumah Ilmu bagi Dun Teluk Air Tawar, Tasek Gelugor, oleh Menteri KPDNKK, Datuk Saifuddin Nasution Ismail kelmarin.

Ujarnya, pencen kepada ahli politik harus diberi keutamaan serius kerana ia melibatkan kos yang banyak jika dibezakan dengan penjawat awam.

“Sekiranya boleh pencen yang diberikan kepada ahli politik harus dikaji semula seandainya kerajaan serius untuk melaksanakan penjimatan.

“Tidak dapat dinafikan terdapat ahli politik yang menerima pencen berganda-ganda setelah memegang beberapa jawatan.

“Terdapat antara ahli politik yang menerima pencen sebagai Ahli Parlimen yang juga Adun serta exco kerajaan negeri mahupun sehinggakan jawatan menteri dan seumpamanya,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kaedah terbaik harus dicari dengan hanya memberikan pencen yang tertinggi kepada mana-mana ahli politik jika mereka memegang beberapa jawatan dan portfolio.

“Ada antara ahli politik yang menerima sehingga tiga atau empat jenis pencen setiap bulan.

“Oleh kerana itu sekiranya bersungguh-sungguh untuk menghapuskan pencen, maka tindakan awal yang harus dilakukan ialah memastikan tidak ada dalam kalangan ahli politik yang menerima pencen berganda-ganda.

“Penjimatan kos dan wang sepertimana yang direncanakan boleh direalisasikan, tetapi contoh dan tindakan utama harus datang dari pihak kepimpinan sendiri dan mereka yang memimpin kerajaan negeri maupun pusat, ” tambah Timbalan Ketua AWAN Negeri Pulau Pinang itu lagi.