Malaysia Dateline

Kaji semula PKPB elak kes jangkitan Covid-19 meningkat mendadak

Menyaksikan situasi dunia masih belum menemukan vaksin Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikaji semula bagi mengelak peningkatan kes yang cuba dibendung ketika ini.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, dalam keadaan masyarakat belum memahami penjarakan sosial dan kaedah membudayakan normal baharu, kemungkinan ruang untuk menyumbang kepada kembalinya virus tersebut adalah tinggi.

Mujahid turut menyentuh bagaimana sehingga enam negeri tidak mengikut arahan kerajaan Persekutuan dengan mengambil keputusan menangguhkan dan tidak akan melaksanakan PKPB.

“Enam negeri yang tidak laksana PKPB ini mungkin bimbang dengan sebaran penyakit yang boleh berkembang.

“Itu sendiri membuktikan sikap kerajaan Pesekutuan yang mahu buat keputusan besar tetapi persoalannya sejauh mana mereka berunding dengan negeri-negeri ini.

“Normal baru pun belum terpahat dan kukuh di minda rakyat, apabila berlaku keadaan (berhimpun beramai-ramai), mereka anggap ianya bukan satu isu.

“Semasa menyesuaikan diri dengan PKPB, kita bimbang akan buka ruang virus ini kembali dalam masyarakat kita sehingga menyumbang kepada peningkatan kes kelak,” katanya dalam satu slot bual bicara secara langsung di Facebook beliau, hari ini.

Enam negeri menolak pelaksanaan PKPB yang bermula semalam sekali gus enggan membuka semula sektor ekonomi iaitu Sarawak, Sabah, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sementara itu, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan bersetuju melaksanakan PKPB tetapi dengan pengubahsuaian tertentu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mempersoalkan adakah ketika ini kerajaan Persekutuan melakukan rundingan bersama kerajaan-kerajaan negeri dalam melaksanakan PKPB.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dengan apa yang berlaku, kerajaan seharusnya lebih teliti dalam mengeluarkan arahan-arahan yang memberi impak besar.

Malah katanya, segala keputusan mestilah membabitkan perbincangan serta penyelarasan antara negeri.

Untuk rekod, hanya empat negeri menerima sepenuhnya PKPB iaitu Terengganu, Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan.