Malaysia Dateline

Kaji SOP, sediakan Taska di tempat kerja

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan menggesa agar kerajaan mengkaji semula garis panduan Taska untuk anak-anak petugas barisan hadapan sekaligus mengelakkan sebarang persepsi negatif dan diskriminasi terhadap mereka.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, masalah penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sudah berlarutan sejak beberapa lama dan masih gagal diuruskan dengan baik oleh pihak berkuasa.

Namun katanya, kini para petugas pula berhadapan dengan risiko anak dan keluarga didiskriminasikan dalam masyarakat.

“Kebanyakan Taska ditutup kecuali Taska yang beroperasi di Premis Hospital.

“Akhirnya ramai yang berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa menitipkan anak-anak bersama ibu bapa masing-masing.

“Kita boleh bayangkan sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan tentunya ia boleh memberikan tekanan dan menjejaskan prestasi kerja petugas barisan hadapan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Hafidzah, kerajaan juga seharusnya mngambil berat terhadap kebajikan para ‘frontliners’ wanita dengan menyediakan pusat jagaan anak-anak yang mencukupi dan berpatutan dari segi pembiayaan yuran.

Tegasnya, kebajikan mereka dan anak-anak seharusnya menjadi keutamaan yang perlu dititikberatkan oleh pihak Kerajaan.

Namun, buat masa ini katanya hanya pihak badan bukan kerajaan (Ngo) sahaja yang ke depan dalam inisiatif membantu ‘frontliners’ dalam urusan jagaan anak mereka.

“Penyediaan Taska di tempat kerja sudah lama diperkatakan sebagai langkah mengimbangi kehidupan bekerjaya dan bekeluarga bagi pekerja kita.

“Ini masanya untuk merealisasikan perancangan ini secara praktikal dan tuntas dan bukan retorik semata-mata,” katanya lagi.