Kajian dapati Musang King bukan buah paling ‘top’ di Malaysia, apa dah jadi?

Oleh KIM SYAZIE

Musang King yang diberi jolokan raja buah Malaysia didapati tidak menduduki tangga teratas dalam senarai 10 buah-buahan yang dinilai terbaik di negara ini.

Menurut laporan majalah makanan antarabangsa TasteAtlas, Musang King menduduki tempat kelapan, di mana tempat pertama adalah manggis, rambutan dan diikuti pulasan.

TasteAtlas menyifatkan Musang King yang dikenali sebagai Mao Shan Wang, sebagai “salah satu jenis durian terbaik, sangat dicari kerana teksturnya yang kaya dengan rasa dan berkrim”.

Terkenal kerana kombinasi rasa pahit dan manis, Musang King dianggap sebagai varieti durian paling popular di Malaysia. Ia mempunyai isi seperti mentega dan  tebal.

Lapor laman berita VN Express yang memetik kajian itu, penarafan 10 buah-buahan terbaik sebenarnya diambil berdasarkan penilaian orang ramai dan mereka yang berpengetahuan tentang buah-buahan.

Kajian itu juga menggunakan sistem yang menapis bot dan penilaian yang terlalu berlebihan.

Matlamat kajian itu adalah untuk mempromosikan kehebatan makanan tempatan, hidangan tradisional dan mencetuskan rasa ingin tahu tentang makanan yang mungkin tidak pernah dicuba oleh pelancong.

Baca juga: Gadis minta bomoh mandulkan kawan lelaki, kecewa duit dikebas dan hati dipermainkan