Kajian Mardi rakyat Malaysia bazir 15,000 tan makanan sehari

Kajian Mardi rakyat Malaysia bazir 15,000 tan makanan sehari

Rakyat Malaysia membazirkan sebanyak 15,000 tan metrik makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih boleh dinikmati dan tidak sepatutnya dibuang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek berkata pembaziran makanan semakin meningkat pada musim-musim perayaan dan dilihat sebagai satu tabiat yang seharusnya dikekang bagi memastikan amalam membazir tidak berterusan.

“Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan 28.4 peratus daripada jumlah padi yang dihasilkan juga hilang begitu sahaja.

“Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, 20 hingga 50 peratus dibuang dan tidak sampai ke pengguna,” katanya selepas merasmikan Forum ‘MySaveFood’ di sini, hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan melalui MARDI sedang menjalankan beberapa program di seluruh negara bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan pembaziran makanan kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Perusahaan Kanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr Rosa Rolle berkata ‘Food Loss and Waste (FLW) Standard’ akan dilancarkan bulan depan bagi menangani cabaran kuantiti kehilangan dan pembaziran makanan.

Beliau berkata standard tersebut akan membolehkan pelbagai entiti, negara dan rantau lain untuk mengambil kira dan melaporkan dengan praktikal, boleh dipercayai dan cara yang konsisten di peringkat antarabangsa mengenai jumlah pembuangan dan pembaziran makanan serta mengenal pasti di mana ia berlaku seterusnya membolehkan usaha untuk sasaran mengurangkannya.

Rolle berkata pembangunan standard itu dikoordinasikan oleh World Resources Institute (WRI) bersama-sama beberapa rakan kongsi seperti Consumer Goods Forum (CGF) dan World Business Council for Sustainable Development (WBCSD).

“Di peringkat global, kira-kira 1.3 bilion tan metrik makanan dibuang atau dibazirkan setiap tahun yang bernilai RM4.4 trilion,” tambahnya.

Forum MySaveFood anjuran FAO bersama MARDI yang dihadiri 100 peserta daripada agensi kerajaan dan swasta itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran mengenai kitaran hayat makanan untuk mengurangkan pembaziran makanan dan sisa makanan.

 

TAGS