Kajian mengenai hukuman mati selesai, kata Menteri

Kajian mengenai hukuman mati selesai, kata Menteri

Nancy ShukriJabatan Peguam Negara akan menyediakan kertas cadangan berhubung pindaan undang-undang hukuman mati untuk dikemukakan kepada kerajaan selepas selesai menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kajian oleh International Centre for Law and legal Studies (I-CeLLs) dijalankan selepas Jabatan Peguam Negara ditugaskan menjalankan kajian komprehensif mengenai isu hukuman mati di Malaysia.

Kajian itu dijalankan dengan mengadakan perundingan dan pandangan daripada Profesor Dr Roger Hood iaitu Profesor Kriminologi dan Emiritus Fellow of All Souls College Oxford, seorang daripada pakar yang arif mengenai hukuman mati, kata beliau.

Nancy berkata demikian dalam nota intervensi pada Kongres Sedunia Menentang Hukuman Mati ke-6 yang berlangsung di Oslo, Norway. Kongres selama tiga hari itu bermula Selasa. Nota intervensinya dihantar melalui faks di sini hari ini.

Beliau berkata: “Terdapat tanda-tanda positif di Malaysia, dan momentum yang stabil yang memungkinkan perubahan dalam undang-undang mengenai hukuman mati.”

Pada masa ini di Malaysia, hukuman mati adalah mandatori bagi 12 kesalahan, sementara 20 kesalahan lain boleh dijatuhi hukuman mati mengikut budi bicara.

“Membunuh, pengedaran dadah, dan kesalahan berkaitan keselamatan (negara) adalah contoh kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” kata beliau.

Nancy berkata Malaysia mempunyai beberapa perlindungan dalam undang-undang dan amalan untuk melindungi hak tertuduh yang menghadapi hukuman mati, antara lain, hak untuk segera dimaklumkan mengenai bentuk pertuduhan yang dikenakan, hak untuk mempunyai peguam pilihan sendiri untuk mewakilinya dan juga hak untuk perbicaraan yang adil oleh tribunal yang berwibawa, bebas dan saksama.

“Walaupun Malaysia secara amnya mematuhi standard antarabangsa berhubung dengan perlindungan yang berkaitan, pendirian Malaysia mengenai hukuman mati sentiasa dikritik oleh pihak-pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Antara kritikan itu ialah walaupun hukuman mati diperuntukkan, ia hanya boleh dilaksanakan dalam kes-kes jenayah paling serius dan tiada keraguan yang munasabah bahawa tertuduh bersalah,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)