Bajet 2018: Rakyat mahu langkah berkesan untuk kesejahteraan hidup

Bajet 2018: Rakyat mahu langkah berkesan untuk kesejahteraan hidup

Kajian persepsi rakyat terhadap Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 27 Oktober ini menunjukkan rakyat mahu langkah-langkah berkesan serta bermanfaat disusun bagi menjamin kesejahteraan mereka menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Tinjauan yang dijalankan oleh KAJIDATA menunjukkan ramai yang yakin belanjawan itu akan membantu meringkankan kos sara hidup, dengan 37.7 peratus daripada responden bersetuju bahawa langkah-langkah yang dibentangkan dalam belanjawan sebelum ini (Bajet 2017) banyak membantu dalam meringkankan kos hidup.

Penasihat KAJIDATA Profesor Syed Arabi Aidid berkata, kajian itu juga mendapati responden daripada olongan B40 yang berpendapatan di bawah RM3,000 mengharapkan agar kerajaan terus membela nasib mereka dalam Bajet 2018.

Hasil kajian itu mendapati kira-kira 90 peratus daripada responden mahu kerajaan memberikan penekanan kepada sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, membantu warga emas 65 tahun dan ke atas dan ibu-ibu tunggal dapat meneruskan kehidupan mereka.

Mereka juga mengharapkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan pada 2018 dengan 69.6 peratus responden berpendapat BR1M yang diumumkan pada Bajet 2017 telah mencapai objektifnya, kata Syed Arabi yang juga bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dalam senarai hajat mereka bagi Bajet 2018, rakyat juga menyuarakan agar pembentangan bajet itu turut mengadakan peruntukan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara (89.6 peratus), mengurangkan kos sara hidup (88.8 peratus), sistem pengangkutan yang lebih baik (87 peratus),pembangunan dan kemudahan infrastruktur (82.4 peratus) dan memberi subsidi terhadap beberapa barangan pilihan(80 peratus).

Mereka juga mahu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik terutamanya bagi golongan B40 (84.9 peratus) dengan 44.9 peratus berpendapat Bajet 2017 tidak banyak membantu mereka dalam pembelian rumah mampu milik.

Kajian itu juga menunjukkan masyarakat Cina (65.1 peratus) dan India (69.7 peratus) dilihat lebih mengharapkan agar Bajet 2018 memberi fokus kepada kepentingan penduduk di bandar dan juga luar bandar secara sama rata.

Menurut Syed Arabi, ia menunjukkan penduduk bandar tidak semestinya berpuas hati dengan kedudukan mereka walaupun mereka mempunyai lebih banyak peluang dan kemudahan.

Katanya dalam kajian itu juga menunjukkan 50 peratus daripada responden sedar bahawa perdana menteri akan membentangkan Bajet 2018 pada hujung bulan ini. Hampir 70 peratus daripada responden bersetuju kakitangan awam boleh diberi imbuhan.

Kajian Persepsi Rakyat Pra-Bajet 2018 dijalankan bagi mengukur kesedaran rakyat mengenai

pembentangan Bajet 2018 hujung bulan ini serta menilai pandangan mereka terhadap perkara-perkara yang perlu ditekankan oleh kerajaan dalam belanjawan itu.

Kajian sama turut meneliti pandangan rakyat terhadap Bajet 2017 sama ada objektifnya tercapai atau sebaliknya.

KAJIDATA melakukan kajian itu dari 26 Julai hingga 4 Ogos 2017 melalui temu bual telefon

menggunakan teknik pensampelan strata secara rambang melibatkan 1,039 responden daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.