Malaysia Dateline

Kajian semula Dasar Perumahan Rakyat Johor menguntungkan pembeli

Dasar Perumahan Rakyat Johor (DPRJ) yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan negeri dijangka akan memberi kesan positif kepada rakyat di negeri ini, kata Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 115,461 unit rumah mampu biaya (RMB) tidak dapat dibina sebelum ini dan ia sekaligus menutup peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah berkenaan.

“Melalui ‘task force’ yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan, kelemahan yang dikenal pasti adalah dari struktur dasar itu sendiri.

“Selain itu pemantauan pembinaan tidak dijalankan dan pindaan Kebenaran Merancang (KM) di bawah ‘One Stop Center (OSC)’ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membuka peluang kepada pemaju untuk tidak membina RMB sebelum ini.

“Dasar yang kita buat ini adalah kita meletakkan zon-zon yang dinamakan A, B dan C yang berdasar tiga kriteria, pendapatan perkapita setiap penduduk daerah, proses perbandaran daerah dan senarai menanti melalui e-rumah,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Senarai zon A,B dan C Rumah Mampu Biaya di bawah DPRJ yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, terdapat empat kategori RMB (RMB A, B, C dan D) yang bakal dibina dan ia telah dibahagikan mengikut zon-zon yang telah ditetapkan.

Jumlah semua senarai peratusan itu sebanyak 40 peratus dan ia dicadangkan untuk projek yang wajib dibina oleh pemaju.

Menurut Dzulkefly lagi, peratusan tersebut dilakukan mengikut keperluan daerah-daerah yang telah dibahagikan mengikut zon-zon yang ditetapkan dan ia juga memberi peluang mereka yang berpendapatan perkapita RM80,000 hingga RM100,000 (M40) untuk tidak ketinggalan dari memiliki RMB melalui pakej RMB D.

Selain itu katanya, memperkasakan OSC turut dijalankan bagi agensi tersebut mendapatkan maklumat yang tepat dalam membina rumah kepada rakyat.

“Antara pemerkasaan OSC yang dicadangkan dalam DPRJ adalah, laporan pasaran atau kajian kemungkinan agar sesuai pembinaan dengan permintaan, meletakkan pegawai penilaian dalam jawatankuasa OSC serta mewajibkan bayaran caj pengantian yang mana sebelum ia adalah sebagai satu pilihan kecuali atas alasan teknikal.

“Selain itu pemerkasaan terhadap mekanisma pemantauan untuk pembangunan RMB juga perlu seperti KM untuk pembangunan RMB dan bukan RMB dibuat sekali bukan berasingan seperti sebelum ini.

“Dan bagi pembangunan yang berfasa, setiap fasa perlu mewujudkan pembinaan komponen RMB tidak seperti sebelum ini perancangan pembinaan RMB wujud tetapi diletakkan pada fasa yang terakhir dalam perancangan pembinaan oleh pemaju dan akhirnya bila ia dimohon semula perubahan status RMB itu telah diubah kepada pembinaan kos yang bukan RMB,” katanya lagi.

Beliau juga telah memaklumkan bahawa terdapat usaha-usaha kerajaan untuk membeli tanah melalui dana dari Tabung Amanah Bayaran Sumbangan Kuota Bumiputera untuk pembinaan RMB serta terdapat usaha-usaha kerajaan untuk membeli tanah melalui dana dari Tabung Amanah ini untuk pembinaan RMB.