Kajian Separuh Penggal RMK-11 akan dibentang hujung tahun

Kajian Separuh Penggal RMK-11 akan dibentang hujung tahun

Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Hala Tuju Baharu 2018 – 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 akan dibentangkan pada hujung tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata KSP RMK-11 yang disediakan akan berdasarkan hala tuju kerajaan baharu.

Beliau berkata, ia selari Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan yang memberi tumpuan pada ekonomi pasaran bebas dan mesra pelabur serta penekanan terhadap ekonomi manusiawi berteraskan program keadilan sosial.

“Keutamaan dasar kerajaan baharu ialah mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di mana amalan kewangan tidak telus akan dihentikan, dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.

“Langkah jangka pendek yang drastik perlu diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan. Langkah itu termasuk mengawal perbelanjaan operasi kerajaan dan mengkaji semula projek pembangunan yang tidak mampan, tidak perlu dan tidak mendesak.

“Hutang kerajaan juga akan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

Mohamed Azmin berkata, negara menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan pada masa sama, cabaran mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

“Kedua-dua objektif ini perlu diimbangi bagi menentukan pembangunan yang berterusan dan bersifat inklusif. Walaupun ketika ini kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, objektif pertumbuhan sosioekonomi tidak diabaikan.

“Kerajaan akan meneruskan projek pembangunan yang memberi impak tinggi kepada ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga memandang serius ke arah mengurangkan jurang pembangunan antara negeri tanpa mengira pendirian politik, dan akan mengambil langkah tegas untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan, terutama bagi golongan B40,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, KSP RMK-11 sedang dijajarkan untuk mengambil kira keutamaan janji yang dizahirkan dalam Buku Harapan.

Katanya, selain menilai pencapaian dua tahun pertama RMK-11, isu dan cabaran pembangunan akan dikenal pasti di mana langkah menanganinya akan dicadangkan.

“Kerajaan juga akan memastikan mekanisme lebih telus diterima pakai dalam proses penyediaan KSP RMK-11.

“Dasar sosioekonomi progresif yang akan diperkenalkan dalam KSP RMK-11 akan melengkapi inisiatif kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi,” katanya.

Hasilnya, beliau berkata, Malaysia akan dibentuk untuk kembali menjadi sebuah negara maju yang dihormati dan dipandang tinggi selaras matlamat Wawasan 2020.

COMMENTS

Wordpress (0)