Kajian universiti dapati pendapatan nelayan hanya RM400 sebulan

Kajian universiti dapati pendapatan nelayan hanya RM400 sebulan

 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ahmad Rudin Hussain atas komen beliau pada penulisan saya tempoh hari. Saya bersetuju memang tidak munasabah pendapatan nelayan RM400 sebulan, apatah lagi di Terengganu “Kuwait Malaysia” dan contohnya di Kampung Teluk Ketapang berdekatan rumah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Fakta tersebut adalah daripada kajian Universiti Malaysia Terengganu yang juga terletak bersebelahan Kampung tersebut oleh mereka yang berpusat di situ serta mereka menghayati suasana kemiskinan tempatan dan mereka bukan bertempat di Kuala Lumpur atau New York! Saya huraikan secara ringkas hasil kajian mereka di sini.

Terlebih dahulu saya hairan kenapa Kementerian atau Menteri Pertanian dan Industri Sumber Asas Tani sendiri tidak membuat kenyataan tetapi ditugaskan NEKMAT pula untuk berbuat demikian. Saya juga hairan daripada isu-isu yang saya timbulkan, kenapa hanya tentang pendapatan RM400 sahaja dikomen dan tidak juga isu-isu penting lain seperti di bawah. Sekali lagi pihak kementerian lari dari isu-isu utama dan tanggungjawab mereka. Isu lain adalah seperti tercatit disini:-

a) Isu pencerobohan serta masalah nelayan dari Vietnam yang lama berlaku.

b) Isu kekurangan sumber ikan kerana pencerobohan nelayan asing dan kemusnahan perangkap nelayan tempatan disebabkan cara penangkapan haram mereka.

c) Isu tidak cukup peruntukan minyak untuk pihak keselamatan membuat rondaan keselamatan yang munasabah.

d) Isu janji tidak munasabah menteri pendapatan nelayan mencapai RM5,000 pada tahun 2020 iaitu dalam jangka masa hanya tiga tahun. Saya juga bersetuju kenyataan NEKMAT nelayan adalah “golongan perwira di lautan” kerana saya sendiri pernah hanyut seminggu di laut tanpa makanan dan memahami ancaman di laut kepada nelayan kita.

Fakta fakta yang saya peroleh tentang pendapatan nelayan yang amat rendah RM400 adalah daripada kajian “KEBERKESANAN BANTUAN KERAJAAN UNTUK MENINGKATKAN TARAF SOSIO EKONOMI NELAYAN KAJIAN KES NELAYAN MUARA PANTAI TIMUR” oleh Dara Aisyah Ali Putri-UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU.

Di antara petikannya adalah – “Komuniti muara yang mendiami kawasan muara sungai dan mengerjakan pekerjaan seperti nelayan tradisional boleh digolongkan ke dalam kumpulan komuniti terpinggir ini.”

“Kajian Aisyah… di kawasan program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu- Seramai 147 nelayan menerima bantuan yang terdiri dari bèberapa kawasan seperti Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Setiu, Besut, Dungun, Kemasik, Kertih, Kijal, Merchang dan Paka.

Secara keseluruhannya, didapati 41% nelayan dalam kawasan program memperolehi pendapatan isi rumah sebanyak RM500. Manakala 29 % berpendapatan RM200 – RM400, sedangkan kategori pendapatan RM600 – RM800 didapati 25 %. Untuk pendapatan RM1,000 – RM1,200 hanya 6 % sahaja.”

Jika pihak NEKMAT berminat mengetahui keadaan nelayan serta petani di kawasan Teluk Ketapang yang bersebelahan kawasan Menteri Besar Terengganu sendiri, sila rujuk Kertas Kajian “Projek Keusahawaan Sosial Dapat Memenuhi Keperluan Penduduk Miskin dan Miskin Tegar” oleh Ibrahim Mamat dan Aslina Nasir -International Journal of Business and Technopreneurship Volume 6. Antara rumusannya – “Berdasarkan kepada dapatan kajian ini dan perbincangan dapat dirumuskan tahap kemiskinan penduduk Teluk Ketapang, Kuala Terengganu berada di peringkat yang tinggi. Dapatan kajian menunjukkan majoriti (54 orang) penduduk berpendapatan kurang dari RM460.”

Saya berpendapat sudah cukup daripada dua contoh kajian di atas ini saya memberi bukti serta justifikasi bahawa masih wujud ramai nelayan berpendapatan RM400 yang pihak kerajaan patut beri perhatian. Mereka sudah terlalu lama menderita diabaikan. Mereka bukan meminta subsidi, mereka meminta pembelaan supaya keselamatan mereka di laut di jaga, perangkap ikan mereka tidak di jahanamkan oleh nelayan asing dan bekalan ikan di laut tidak makin pupus di curi nelayan asing secara haram. Susah sangatkah pihak kerajaan menimbang permintaan keperluan asas mereka ini?

Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu