Malaysia Dateline

Kak Maz nekad mahu selesai isu banjir, masalah akses internet di DUN Ayer Limau

Masalah banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Melaka menjadi fokus utama yang mahu diselesaikan oleh calon Pakatan Harapan, Mazenah Baharuddin jika diberi mandat pada 20 November ini.

Mesra dipanggil Kak Maz, beliau menyatakan keprihatinannya dan berazam untuk menyelesaikan masalah banjir yang sebelum ini beberapa kali menjejaskan usaha pertanian dan penternakan orang kampung.

Kak Maz menyantuni peniaga kecil di Warong Tepi Sawah Sungai Siput Ayer Limau Melaka

“Masalah banjir misalnya banyak berpunca daripada sistem perparitan yang kurang sempurna seperti saiznya yang kecil, kurang penyelenggaraan yang baik dan tidak mampu menampung air hujan seandainya turun dengan lebat.

“Di samping masalah sungai¬†yang sepatutnya didalamkan serta dilebarkan, ini semua memerlukan penelitian dan tindakan segera yang wajar,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pada masa sama, Kak Maz bertekad mahu memajukan kemudahan infrastruktur yang dilihat agak ketinggalan berbanding kawasan lain di Melaka.

Beliau berkata, pengundi DUN Ayer Limau mengalami masalah akses internet yang sangat lemah sehingga memberi kesan kepada proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) selama tempoh pandemik.

“Jadi, ini semua memerlukan seorang ADUN yang dapat memberikan sepenuh perhatian kepada segala usaha dan ikhtiar penyelesaian,” katanya lagi.

Kak Maz dua dari kiri bersama calon Ketua Menteri Melaka Adly Zahari

Mazenah akan bertanding tiga penjuru di N.03 melawan calon Barisan Nasional iaitu Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Perikatan Nasional Dr. Nordina Abd Latif.

PH akan melancarkan agenda Ayer Limau Maju Bersama Harapan pada 14 November ini.