Malaysia Dateline

Kakak mengaku tidak bersalah tiada niat bunuh adik-Mahkamah benarkan diikat jamin RM10,000

Seorang kakak yang menyebabkan kematian adiknya baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kanak-kanak Johor Bharu hari ini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta dengan syarat tambahan dia perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap bulan.

Sebelum itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun pihak peguam bela memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh masih remaja dan tidak mempunyai sebab untuk melarikan diri.

Tertuduh juga bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Mac tahun depan.

Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Disember depan bagi laporan bedah siasat.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ini di hadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya di rumah mereka di Kampung Pulai, Ulu Choh, 19 Oktober lalu.

Bagaimanapun remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun yang mana dia mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Kes berkenaan yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan juga telah dipinda kepada 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu remaja berkenaan dilaporkan bergaduh dengan adiknya itu kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Kemudiannya tertuduh bertindak membaling pisau ke arah adiknya itu kerana diejek ketika memasuki rumah menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adik remaja berkenaan disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur terkena pada saluran darah utama (arteri) dan menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak hingga menyebabkan kematian.

Baca juga: Menjelang penamaan calon-Kertas pencalonan nampak ‘simple’ tapi kenapa ditolak?