Kakak sulung penat tanggung rumah ayah, bila meninggal adik lelaki sibuk tuntut faraid

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita bergelar kakak sulung merasa sangat terkilan apabila pengorbanan dilakukan demi keselesaan ibu bapa langsung tidak dihargai oleh adik-beradiknya.

Lebih memburukkan keadaan, adik lelaki kepada wanita terbabit turut menuntut hak ke atas kediaman arwah bapa mereka meskipun tidak pernah menghulurkan wang.

Difahamkan, pembelian kediaman tersebut sebenarnya ditanggung sepenuhnya oleh kakak sulung menggunakan pinjaman peribadi demi memenuhi permintaan bapanya.

Malah wanita berkenaan turut mengeluarkan belanja dari sebahagian besar gajinya untuk membeli seluruh kelengkapan yang berada di dalam rumah arwah bapanya itu.

“Aku merupakan anak sulung perempuan yang berusia 32 tahun. (Pembelian) Rumah arwah ayah ini guna duit aku. Ketika itu baru mula bekerja, ayah meminta untuk buat pinjaman peribadi atas nama aku.

“Wang pinjaman itu digunakan untuk membina rumah. Malah barang di dalam rumah ini juga 100 peratus guna duit gaji aku. Beli sedikit demi sedikit. Tetapi apabila aku persoal kenapa nak faraid, adik lelaki cakap aku tak faham agama.

“Anak lelaki yang tak pernah jaga mak pun kelam kabut mengenai hal (faraid rumah) ini. Tolong,” mohon anak sulung terbabit menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di platform X.

Berjaya mencuri perhatian ramai, perkongsian menerusi platform X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter itu dimuat naik tanpa mendedahkan identiti sebenar wanita berkenaan.

Mengulas lanjut, wanita itu memaklumkan pemilikan rumah berkenaan tidak sempat ditukar memandangkan bapanya meninggal dunia secara mengejut akibat strok atau angin ahmar.

“Tak sempat tukar nama rumah itu sebab arwah meninggal akibat strok. Ada orang cakap boleh lantik peguam. Aku memang ada resit dan bukti semasa pembinaan rumah itu.

“Cuma nak tahu berapakah anggaran wang ringgit yang perlu disediakan kalau nak lantik peguam? Macam mana ya nak cari peguam untuk menguruskan kes ini?.” Pinta anak sulung itu.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar X tampil menyokong tindakan wanita itu mendapatkan khidmat peguam kerana seluruh kos pembinaan dan keperluan rumah berkenaan dikeluarkan olehnya seorang.

Baca juga: Dapat merasa banyak hadiah mewah termasuk duit RM28k berkat sertai peraduan setiap hari