“Kaki lima itulah rumah kami”

“Kaki lima itulah rumah kami”

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Potongan rambutnya pendek dan bersisir rapi. Berusia 38 tahun, anak kelahiran pantai Timur ini juga kemas berpakaian dengan hujung baju-T yang dimasukkan ke dalam seluar.

Hanya mahu dikenali sebagai Roslan, beliau antara gelandangan atau mesra dikenali oleh NGO Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) sebagai ‘rakan jalanan’ yang beratur mendapatkan sumbangan makanan Subuh semalam.

Hampir setiap pagi Ahad Roslan bersama lebih 200 rakan jalanan tidak melepaskan peluang menerima bungkusan makanan untuk melapik perut. Perkarangan Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur berusia 106 tahun itu jadi saksi kemelaratan hidup sebahagian penghuni ibu kota.

Menepis tanggapan negatif sesetengah pihak yang menuduh rakan jalanan malas atau penagih dadah, Roslan sendiri katanya sejak tahun lalu bekerja sebagai
pengawal keselamatan di sebuah pasaraya di ibu negara.

Namun hanya memperoleh RM1,300 sebulan, beliau memilih untuk bersama dengan rakan jalanan lain menumpang tidur di kaki lima sekitar Jalan Masjid India.

Walaupun sejak enam bulan lalu menyewa sebuah bilik kecil di Cheras dengan kadar RM300 sebulan selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita senasib
dengannya, tetapi faktor kos pengangkutan terpaksa diambil kira.

“Isteri saya pun baru bekerja di kilang sekitar Cheras sana. Saya setakat ini motor pun tiada. Jadi dengan tempoh kerja ‘guard’ yang panjang, selepas dua, tiga hari saya menumpang tidur di KL ini, baru saya balik ke Cheras.

“Saya harap masyarakat di luar sana janganlah hina memandang kami pada zahir saja. Kaki lima itulah rumah kami. Usah anggap semua gelandangan ini malas
untuk bekerja atau menagih dadah.

“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pun janganlah asyik kejar tangkap kami tambah-tambah bila nak dekat acara besar di Dataran Merdeka. Padahal, ramai
pendatang asing selamba berniaga di Jalan Silang sana tak pula ditangkap,” ujarnya yang mudah diajak bercerita oleh Malaysia Dateline.

Sambil sesekali menyapa dan disapa rakan jalanannya yang lain, Roslan memberitahu sebahagian daripada mereka terlalu pemalu dan bersikap rendah diri dengan orang lain.

“Ada yang masih segan untuk ambil (bantuan makanan) masuk dalam (perkarangan Masjid Jamek). Mungkin ada sebab tertentu. Kita tidak tahu masalah masing-
masing tapi pandangan mata kasar orang ramai yang pukul rata, tak sedap juga kita mendengarnya.

“Harap masyarakat di luar sana tidak bersangka buruk kepada kami yang miskin ini. Bukan semua gelandangan menganggur apatah lagi menagih dadah. Hanya gaji kecil ketika harga barang semakin melambung memaksa kami mengurangkan kos seboleh mungkin termasuk mendapatkan makanan daripada NGO yang prihatin.

“Nanti boleh tengok ‘orang kita’ (Melayu) pakai uniform (pengawal keselamatan) pun ramai beratur ambil makanan tengah hari nanti,” merujuk kepada sumbangan makanan pada waktu itu di Masjid Jamek.

Tidak sampai tahap mencuri

Walau bagaimanapun mengakui segelintir rakan jalanan kurang waras atau menagih dadah akibat gagal mengurus tekanan hidup, bagi Roslan, kerajaan perlu menangani kelompok berkenaan termasuk menyekat pengedaran dadah itu.

“Ada juga kalangan kami yang tidak cacat tapi rela minta sedekah di perkarangan masjid ini setiap kali solat Jumaat. Mereka ini yang menganggur. Saya tengok pun tak senang sebab nila setitik rosak susu sebelanga.

“Mungkin mereka rasa selesa dengan cara itu. Terpulanglah. Tambah pula pulangannya lumayan. Untunglah. Ada saya dengar boleh dapat lebih RM100 hanya selepas lebih dua jam duduk menadah cawan plastik sebelum dan selepas solat Jumaat cuma kalau saya segan pula mahu buat begitu,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Kembali dalam nada serius, Roslan berkongsi pandangannya tentang sifat dermawan majoriti masyarakat negara ini yang membolehkan rakan jalanan sepertinya tidak lagi sampai tahap mencuri untuk mendapatkan sesuap nasi kecuali mungkin segelintir itupun kerana pengaruh dadah.

“Setakat yang saya tahu, belum dengar lagi ada kawan-kawan yang waras terpaksa mencuri sebab perut lapar. Alhamdulillah, orang kita ini ramai lagi pemurah. Selain NGO seperti Unggas yang bagi makanan pagi seperti ini ada beberapa NGO lain juga sumbangkan makanan selain perkhidmatan kesihatan percuma di sekitar KL ini.

“Itu bab makan, sakit tapi bab duit pun sama. Ramai yang sedia untuk bersedekah. Sedikit sebanyak banyak meringankan beban orang seperti kami ini. Bahkan bila kecoh isu gelandangan dengan masyarakat di luar sana mendesak kerajaan ambil tindakan, hasilnya sudah ada asrama sementara dibina di Bulatan Pahang dekat HKL (Hospital Kuala Lumpur). Khabarnya akan dibuka tidak lama lagi,” katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut, Roslan yang baru-baru ini turut menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan Baitulmal sebanyak RM250 sebulan berkongsikan pengalamannya pada dua tahun lalu menghuni di pusat perlindungan Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu yang ditubuhkan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Dulu saya duduk sana tiga minggu saja. Peraturan ketika itu kalau duduk, sekali saja selama. Lepas itu saya nak masuk balik tidak boleh. Dulu kononnya bila duduk di sana, akan dapat tawaran kerja atau dicarikan kerja bersesuaian tapi bagi borang, cakap dengan kami hal itu pun langsung tidak ada.

“Daftar untuk masuk saja macam wayang. Mungkin sekarang keadaan sudah menjadi lebih baik. Harapnya begitulah,” tambah Roslan lagi yang beberapa kali menyebut perlunya Masjid Jamek turut membantu golongan gelandangan dengan memperuntukkan sedikit ruang khas untuk menumpang tidur dan membersihkan diri.

Islam agama perdamaian

Menariknya dalam kalangan ramai rakan jalanan beragama Islam yang mendapatkan bantuan makanan di perkarangan Masjid Jamek itu, Malaysia Dateline menemui seorang rakan jalanan beragama Hindu.

Hanya mahu dikenali sebagai Samy, 48, beliau menganggap Islam sebagai agama perdamaian dan mengajar penganutnya berkongsikan kemakmuran dan
kesejahteraan.

“Saya sendiri tidak dihalang menerima bantuan. NGO ini (Unggas) menerima sesiapa saja tanpa mengira kaum dan agama. Ya. Tuduhan Islam itu agama militan, pengganas siap ada itu IS lebih kepada propaganda Amerika.

“Saya tidak pastilah kerajaan tahu atau tidak. Mestilah lagi tahu. Isu rasis, gaduh-gaduh pasal kaum dan agama di negara kita lebih kepada mainan politik walaupun memang ada satu, dua orang yang suka cari gaduh atas sebab perangainya sendiri tapi umumnya kita semua saling bersatu-padu dan paling penting menghormati antara satu sama lain,” ujarnya sambil disaksikan sukarelawan Unggas juga pendakwah bebas, Ustaz Khaime Farzu.

Menurut Samy yang membesar di Sentul, pergaulannya sejak kecil bersama masyarakat Melayu sama ada di kawasan kejiranan dan di sekolahnya dahulu banyak mendedahkan beliau dengan nilai keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.

“Banyak kami lakukan bersama. ‘Enjoy your life’. Kami banyak belajar budaya, agama lain. Macam adik-beradik. Kami bergurau bahkan saya pernah mengingatkan rakan Muslim supaya sudah solat atau belum. Masalah kita bukan pasal kaum, agama berbeza tapi keperluan makanan dan rumah itu yang perlu
dipenuhi,” tambahnya lagi.

TAGS