Malaysia Dateline

Kakitangan awam di N. Sembilan diingat jangan pandang remeh amanah rakyat

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan kakitangan awam di Negeri Sembilan agar jangan sesekali memandang remeh amanah yang diberikan dan dipertanggungjawabkan di bahu mereka dalam melaksanakan tugas demi kemaslahatan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, setiap aduan rakyat yang diterima seharusnya dijadikan kayu pengukur mengenai tahap penyampaian jabatan masing-masing.

“Oleh itu, setiap aduan yang diterima hendaklah disantuni dengan baik agar dapat diselesaikan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan. Saya difahamkan pentadbiran Kerajaan Negeri sedang giat menjalankan usaha bagi melaksanakan Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA) di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya percaya melalui pelaksanaan sistem ini, setiap aduan dapat diselesaikan di peringkat agensi itu sendiri dan sistem penyampaian agensi kerajaan boleh dipertingkatkan lagi. Apa yang lebih penting tanggapan atau persepsi negatif masyarakat terhadap kualiti perkhidmatan awam dapat diperbaiki,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Pentadbiran Daerah Rembau di Dewan Seri Rembau di sini, hari ini.

Usaha ke arah transformasi ini adalah satu cabaran yang amat besar kerana bukan sahaja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti, malah memenuhkan anjakan minda masyarakat secara menyeluruh.

“Saya mahukan perkhidmatan awam di Negeri Sembilan terus berdepan dengan cabaran baharu berikutan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi baharu, khususnya permintaan yang datang bersama-sama Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital.

“Justeru, sebagai penjawat awam kita perlu merebut peluang yang disediakan oleh teknologi bagi mencapai pembangunan berterusan dan inklusif untuk semua,” katanya.

Mengenai daerah Rembau, beliau berkata daerah itu kini berada dalam arus pembangunan infrastruktur dan pelbagai usaha giat dijalankan agar penduduk di daerah ini tidak ketinggalan dalam menikmati kemajuan dan keharmonian.

Penyediaan prasarana di daerah ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada makluman atau cadangan daripada penduduk daerah ini sendiri.

“Kebergantungan kepada agensi atau jabatan kerajaan semata-mata tidak akan menjamin sistem penyampaian yang berkesan tanpa sumbangan idea daripada rakyat,” katanya.– BERNAMA