Malaysia Dateline

Kakitangan cemerlang mampu lonjakan ekonomi negara, kata Pengerusi LKIM

Kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diingatkan untuk bekerja dalam satu pasukan dan mementingkan integriti dalam perkhidmatan kerana dua perkara itu adalah kunci kepada kejayaan sesebuah organisasi, kata Pengerusinya Faiz Fadzil.

Beliau berkata, LKIM mampu menjadi agensi kerajaan yang terbaik di dalam negara sekiranya budaya kerja Cekap, Amanah, dan Peduli (CAP) diamalkan oleh warga kerjaan.

“Negara-negara yang maju seperti Jepun mahupun negara-negara Scandanavian yang lain berjaya pada hari ini hasil daripada sumbangan produktiviti para pekerjanya.

“Oleh itu, amat wajar para pekerja hari ini dilengkapi ilmu dan kemahiran yang tinggi bagi meningkatkan produktiviti negara ketika negara hari ini menuju Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) LKIM 2020 di Ramada Hotel, Melaka pada Selasa.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Pengarah LKIM Datuk Jamaluddin Othman, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Encik Untong Bin Keri dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan YM Raja Kahalid Bin Raja Ariffin.

Dalam majlis itu juga, seramai 102 orang kakitangan LKIM telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang memperoleh sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM 1000.00.

LKIM buat julung-julung kali pada tahun ini menganugerahkan Sijil berkenaan sebagai rangsangan bahawa pendidikan adalah teras pembangunan negara.

LKIM mempunyai lebih kurang 1,282 orang kakitangan yang berkhidmat bagi meningkatkan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan industri perikanan negara.

Di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, ujarnya lagi, LKIM memikul cabaran besar bagi mengeluarkan nelayan daripada kelompok B40 selaras dengan objektif Wawasan ini.

“Ia bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.