Malaysia Dateline

Kakitangan NSTP positif Covid-19

Seorang kakitangan The New Straits Times Press (NSTP) dikesan positif Covid-19 selepas pulang bertugas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Media Prima, kakitangan berkenaan telah menjalani kuarantin sukarela di rumah sejak pulang dari Sabah pada 29 September.

Kakitangan tersebut juga dimaklumkan tidak pernah berada di premis-premis Media Prima sejak kepulangannya.

“Kakitangan terbabit sememangnya telah menjalani kuarantin sukarela di rumah dan tidak pernah berada premis-premis Media Prima sejak pulang dari Sabah.

“Media Prima akan memberikan segala sokongan yang diperlukan kepada kakitangan terbabit dan mendoakan beliau diberikan kesembuhan segera.

“Kesemua kakitangan yang pulang daripada tugasan di Sabah telah pun menjalani ujian mandatori Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin sukarela 14 hari di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan Media Prima juga memaklumkan sedang bekerjasama rapat dengan pihak kementerian kesihatan dan telah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi meminimakan potensi jangkitan kepada kakitangan lain.

Pada masa ini kes jangkitan Covid-19 di Semenanjung berkaitan PRN Sabah semakin meningkat melibatkan wakil rakyat dan petugas parti.

Kes melibatkan staf NSTP pula dilihat bakal meningkatkan lagi kes positif Covid-19 dalam kalangan pengamal media yang membuat liputan dan mempunyai kontak dengan ahli politik sepanjang musim PRN Sabah lalu.