Malaysia Dateline

Kakitangan parti ditahan bukan pegawai khas, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberitahu salah seorang yang ditahan dalam satu serbuan polis pada awal pagi semalam bukan pegawai khas di kementeriannya.

Individu yang dimaksudkan sebagai Pizi Jihat adalah merupakan kakitangan di ibu pejabat parti dan bukannya pegawai khas beliau seperti dilaporkan dan menjadi viral di media sosial hari ini.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa Pizi bin Jihat merupakan seorang kakitangan di ibupejabat parti dan bukannya pegawai khas saya sebagaimana yang dilaporkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau menyerahkan kes penahanan Adun Dengkil dan beberapa individu lain dalam satu serbuan pada awal pagi semalam, kepada pihak polis.

“Susulan penahanan ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak akan campur tangan dalam kes ini dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang,” ujarnya.

Terdahulu, tular seorang Adun Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi disebuah kelab di Damansara.