Kakitangan UMK kecewa Dr Maszlee lantik juru kempen Umno-BN sebagai TNC

Profesor Dr Mohd Rafi (kiri) berkempen untuk Umno-BN menjelang PRU14 lalu.

Kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melahirkan rasa dukacita atas tindakan Menteri Pendididikan, Dr Maszlee Malik melantik Profesor Dr Mohd Rafi Yaacob sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang baharu bermula 16 Jun 2018.

Jelas mereka, beliau bersama Naib Canselor dan lain-lain Pegawai Utama UMK, sebelum dan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu merupakan kumpulan kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk Datuk Seri Ideris Jusoh.

“Kumpulan ini termasuk Profesor Rafi dan Pendaftar merupakan jentera Umno-BN yang memaksa kakitangan UMK terutama yang berstatus kontrak supaya berpindah tempat mengundi sejak 2014 lagi ke kawasan bekas Menteri Mentor UMK di parlimen Jeli.

“Kami memohon supaya lantikan ini digantung sehingga jawatankuasa pemilih baharu dibentuk bagi memilih TNC Akademik baharu secara telus, berintegriti dan menyokong agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sekiranya ini tidak berlaku maka agenda tranformasi dan reformasi yang dinyatakan dalam manifesto PH akan gagal di peringkat IPTA,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Jelas mereka lagi, pihaknya amat kecewa dengan keputusan Menteri Pendidikan berhubung lantikan itu dan memohon Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) membawa perkara tersebut ke kabinet.

Mereka juga menyeru supaya perlantikan tersebut yang bermula 16 Jun 2018 itu digantung sehingga Jawatankuasa Pemilih baharu dibentuk dan mengesyorkan seorang atau beberapa calon untuk perakuan Menteri Pendidikan.

9.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS