Malaysia Dateline

Kalah di Tg Piai, jangan tunding jari sesama komponen PH

Asas kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah perjanjian perkongsian kuasa dengan kerjasama antara Bersatu, PKR, Amanah dan juga DAP.

Malah harus diingati dan difahami bahawa pengaruh yang dibawa oleh Tun Mahathir amat besar bagi memastikan PH mendapat mandat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Sehubungan itu pimpinan komponen PH harus muhasabah dengan kekalahan yang diterima dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piaii baru-baru ini dan bukannya menuding jari khususnya kepada Bersatu semata-mata.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Armada Bahagian Bagan, Sayyid Mohamed Mubarak.

Tegas beliau, kepimpinan PH harus memperbaiki setiap kelemahan yang ada dan bukannya mensabotaj sesama sendiri.

“Adalah dinasihatkan agar pimpinan DAP turut sama mengawal pimpinan mereka dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh diumpamakan sebagai ‘menembak diri sendiri’.

“PH mempunyai saluran tersendiri dalam menyuarakan pandangan sepertimana pepatah Inggeris ‘don’t wash your dirty linen in public’.

“Harus juga diingati bahawa tanpa kehadiran Tun Mahathir sukar untuk merealisasikan kehadiran PH sebagai pemerintah ketika ini, ” jelasnya.

Oleh kerana itu kata Sayyid, DAP perlu turut sama memikul tanggungjawab dan lebih muhasabah diri kerana kegagalan menarik sokongan dari pengundi Cina dalam PRK Tg Piai.

Ujarnya lagi, tutur kata dan keceluparan yang melampau akan menjejaskan perpaduan yang ada dalam PH.

“Sekiranya tidak sealiran dengan PH maka adalah lebih baik bagi mereka mengundurkan diri dan meninggalkan PH.

“Manakala orang Melayu pula harus segera berhenti mencari salah sesama sendiri dan muhasabah diri diatas kecelaruan yang berlaku.

“Disarankan kepada pimpinan DAP supaya dapat membimbing dan menasihatkan pimpinan mereka supaya lebih matang dalam mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan, ” tambahnya.