Malaysia Dateline

Kalah dua PRK, cabaran PH hadapi PRK Rantau, kata Mujahid

AMANAH berpandangan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih Sabtu lalu akan menjadi cabaran kepada PH dalam menghadapi PRK Rantau kelak.

Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, PH tetap akan bergelut untuk mengatasi undi Melayu bagi memertingkatkan 20% undi yang telah hilang dalam dua PRK lalu di Cameron Highlands dan Semenyih.

Katanya permainan Umno-BN mengenai kos sara hidup, narratif Melayu dan Islam perlu ditangani oleh PH.

“Dua pendekatan iaitu tentang kos sara hidup dan retorik Islam-Melayu akan menjadi asas strategik yang perlu ditangani secara berkesan dalam kempen di PRK Rantau nanti.

“Penguasaan naratif Melayu Islam oleh Umno dan Pas kelihatan dominan walaupun ia dilihat tidak semestinya baik untuk Melayu, Islam.

“Umno dan Pas berleluasa mengeksploitasi isu Tabung Haji, Hina Nabi dan dominasi DAP, ” ujarnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan beberapa faktor menjadi punca kekalahan calon Pakatan Harapan Mohamad Aiman Zainali.

“Kalah dan menang adat dalam pilihan raya. Yang penting ialah proses demokrasi berjalan lancar tanpa pencerobohan dan penipuan.

“Faktor calon turut menyumbangkan faktor ‘wow’ bagi para pengundi. Dalam melihat faktor calon, tidak dinafikan kemenangan calon BN di Semenyih bukan kerana faktor ‘wow’- nya tetapi ia terserlah kerana tenggelamnya calon PH di mata pengundi.

“Faktor ‘prestasi Kerajaan PH’ dijadikan bahan kempen bukan kerana BN ada solusi lebih baik tetapi ia berbentuk serangan memperkecilkan prestasi PH,” ujarnya.

Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, PH punya waktu untuk meyakinkan rakyat kerajaan akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Usaha mengurangkan kos bebanan hidup ada yang boleh dibuat segera, ada yang perlu masa. Ada juga yang perlu kajian secara terperinci sebelum membuat sebarang take off. Tetapi perkara ini tidak dirasai.

“Cabarannya kepada PH dalam PRK Rantau nanti ialah PH tetap akan bergelut untuk mengatasi undi Melayu bagi mempertingkatkan 20% undi yang telah hilang dalam dua PRK sebelum ini,”ujarnya.

Menteri di Jabatan Perana Menteri ini juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kemenangan calon BN dan pengundi Semenyih yang melaksanakan tanggungjawab mereka.

“PH perlu segera membuat rumusan kekalahan dengan melihat lebih dalam segala kelemahan yang ada dan saya yakin dapatan yang diperolehi akan membantu proses pemulihan PH bagi bertempur di Rantau nanti,” ujarnya.