Kalah rumah kos rendah! Kediaman dua tingkat ini rupanya kandang biri-biri ‘kayangan’

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, satu rakaman yang memaparkan keadaan sekitar di sebuah kediaman dua tingkat telah berjaya membangkitkan perbincangan hangat di media sosial.

Rakaman berdurasi 24 saat itu dimulakan dengan paparan persekitaran luar rumah berkonsepkan moden yang kelihatan agak mewah dan bersih daripada kekotoran.

Namun, alangkah terkejutnya penonton selepas pintu rumah dibuka dan mendapati penghuni tingkat bawah kediaman tersebut bukanlah manusia sebaliknya binatang.

Rupa-rupanya, bangunan dua tingkat yang lebih mewah daripada rumah kos rendah itu dijadikan sebagai tempat tinggal binatang atau lebih tepatnya dipanggil kandang.

Lebih mengagumkan, pemilik rumah tersebut masih berjaya mengekalkan kebersihan kediamannya selepas ia dijadikan kandang ‘kayangan’ kepada beberapa ekor biri-biri.

Berdasarkan komen ditinggalkan oleh pemilik video, biri-biri yang menduduki rumah terletak di Batur, Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia itu datang dari baka Merino.

Tular di media sosial, perkongsian yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu telah berjaya meraih lebih daripada tiga juta tontonan oleh para pengguna platform berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen pula mendapati, rata-rata pengguna media sosial meluahkan perasaan cemburu ekoran kandang tersebut lebih mewah daripada rumah mereka.

Ramai juga individu meninggalkan komen yang mencuit hati untuk mengusik pemilik kediaman agar bersedekah dengan menghadiahkan sebuah rumah kepada mereka.

“Ya Allah, jiwa miskinku meronta-ronta. Wahai anda si pemilik rumah biri-biri. Semoga berbaik hati untuk membelikan saya sebiji rumah,” kata seorang pengguna berseloroh kepada pemilik kediaman.

“Ya Allah, rumah biri-biri sahaja lebih mewah sekiranya dibandingkan dengan rumah aku.” Kongsi pengguna lain yang turut kagum melihat kemewahan kandang biri-biri tersebut.

Memandangkan rakaman hanya dibuat di tingkat bawah, tidak dapat dipastikan sama ada aras kedua kediaman itu turut diduduki oleh biri-biri atau pemilik rumah tersebut.

Baca juga: Bayar RM14 untuk sebungkus nasi ayam, pelanggan terkejut peniaga cuma letak tiga hirisan dada ayam