Malaysia Dateline

Kalah teruk di Johor Khairuddin lempar kritikan keras kepada Pas

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terus mengkritik partinya itu hari ini susulan Pas hanya berjaya memenangi satu kerusi daripada 15 yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Sebelum ini beliau pernah mengkritik kepimpinan partinya agar tidak menyerang lawan ketika berkempen dalam PRN Johor.

Namun, menurut Khairuddin, budaya politik matang dan sejahtera Pas yang menjadi dasar parti telah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.

Katanya, serangan keras bertali arus oleh pimpinan utama Pas dan PN terhadap Umno BN yang masih lagi menjadi rakan muafakat Pas menerusi Muafakat Nasional.

Hakikat ini, katanya pastinya tidak akan diperakui oleh pimpinan dalam bedah siasat pilihanraya nanti.

Pas bertanding 15 kerusi di PRN Johor hanya 1 kerusi sahaja yang menang

“Budaya penafian (denial syndrome) dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti,” kata beliau dalam kenyataan.

Sehubungan itu, katanya walak dan ketaatan terhadap pemimpin tidak seharusnya mematikan muhasabah dan kritikan

Kritikan pula katanya bukannya penderhakaan terhadap walak.

“Kritikan terbuka perlu diterima disaat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup tidak lagi diendahkan bahkan dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur,” tambah beliau.