Malaysia Dateline

Kalahkan Umno-BN jika tidak mahu penyamun jadi pemerintah

Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak tersilap langkah dalam membuat pilihan di kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan depan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Wira Mahfuz Omar berkata, seandainya tersalah langkah sekali lagi ia akan memberi peluang kepada penyamun untuk terus berkuasa dan rakyat akan menderita.

“Sekiranya Umno-BN memenangi PRU kali ini tidak mustahil kita akan diperintah lagi oleh penyamun.

“Orang jahat tidak harus dibiarkan mengulangi kejahatan mereka yang mana rakyat dan negara akan mudarat.

“Jangan biarkan masa depan anak-cucu kita dikuasai oleh penyamun kerana ia akan melakukan pelbagai kerosakan sepertimana yang telah terbukti sehinggakan satu demi satu pimpinan mereka berhadapan dengan korup dan rasuah,” katanya ketika berucap di Padang Serai semalam.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, pengurusan kerajaan terdahulu terbukti gagal kerana penuh dengan ketirisan, rasuah dan salah laku dalam kalangan pimpinan mereka yang memerintah.

Bukti jelas, katanya, sepertimana keputusan pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

“Jika tidak mahu ditawan kita harus melawan,” tegasnya yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika era pentadbiran kerajaan PH.

Menurutnya, hasil pentadbiran PH sebelum ini telah berjaya membongkar jenayah rasuah dan ketirisan yang berlaku sehinggakan salah laku pimpinan Umno terserlah.

Mahfuz berkata, mereka kini mengibaratkan PRU-15 sebagai ibu kepada segala pilihan raya dengan harapan akan terlepas dan bebas daripada segala pendakwaan jika mereka menang dalam PRU kali ini.

Sejajar dengan itu, gesa beliau, perubahan harus dibuat dalam PRU ke-15.

“Rakyat mesti memberi peluang kepada PH bagi meneruskan perubahan yang direncanakan dengan menolak parti lain selain PH,” tambahnya lagi.

Baca juga “Nak kami terjemahkan kat kertas undi pilihan raya ke?”- Chef bengang bekalan telur ayam tak ada

Baca juga Kambing ni buat gaya ala diva, netizen geli hati binatang pun boleh ‘sombong’