Malaysia Dateline

‘Kalau ada orang kebal dalam SPRM, apa jaminan rasuah dapat dibanteras?’

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa isu kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) membabitkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera diselesaikan.

Beliau berpendapat isu tersebut akan menjejaskan imej kerajaaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya bulan lalu.

“Isu SPRM mesti ada kesudahan. Ia boleh menghakis imej kerajaan baharu jika penjelasan dan tindakan tegas tidak diambil.

“SPRM terpalit dengan banyak tuduhan dan pendedahan yang tidak boleh disapu di bawah tikar,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Beliau turut mengulas dakwaan seorang pesara pegawai SPRM seperti dilapor Malaysiakini semalam bahawa terdapat lebih banyak kehilangan wang yang disita.

“Kini ada tuduhan kehilangan duit yang disita itu baru sikit sahaja yang terdedah. Apakah kehilangan duit bahan bukti pernah berlaku sebelumnya?

“Apa yang menggusarkan ialah ada tuduhan, pegawai yang disiasat memang ‘bermasalah’ dan ‘tidak boleh disentuh.’ Kononnya dia orang istimewa,” tegasnya.

Untuk rekod, pesara pegawai SPRM berkenaan turut memberitahu salah seorang pegawai yang ditahan ekoran kehilangan RM25 juta wang itu sebagai “bermasalah” tetapi rapat dengan orang ternama.

Sehubungan itu, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat mempersoal sejauhmana usaha membanteras rasuah berkesan sekiranya terdapat pegawai SPRM terlibat dalam salah guna kuasa.

“Kalau pegawai sendiri bermasalah dan ada tuduhan wujud orang kebal dalam SPRM maka apa jaminan rasuah dapat dibenteras seadilnya?

“Wajar dinilai apakah SPRM “suruhanjaya tulen” atau “suruhanjaya separuh masak?” Tidakkah sebuah suruhanjaya melarang kuasa mutlak terletak pada seorang individu?” soal Puad lagi.