Tahun lepas penuh dengan cerita pelakon Azri Iskandar bersama kekasih alam maya, Dr Azra yang begitu misteri hingga menyebabkan ramai menyangka hanyalah penyamar.
Kini timbul pula isu kononnya pelakon tersebut kaki kikis dan mengambil kesempatan atas wanita lain.
Dalam satu wawancara, Azri tidak sangka timbulnya fitnah tersebut kerana melihat perkahwinannya bersama pelakon dan pengarah Ellie Suriaty berakhir secara baik.
“Tak baik tuduh saya begitu. Kalau betul saya pengikis, sekarang ini saya dah kaya, pakai kereta mewah, tiada hutang sewa rumah dan tak perlu pergi ‘shooting’.
“Saya tak tahu dari mana datangnya cerita saya ini kerana tak rasa ada orang yang kecewa dengan saya berdendam sampai begitu sekali.
“Seingat saya kalau hubungan tak jadi pun semuanya baik-baik. Macam Ellie Suriaty (bekas isteri), kami bercerai secara baik,” katanya dalam sebuah program hiburan.
Tawaran berlakon tak menentu
Pada masa sama dia memaklumkan kekurangan tawaran berlakon menyebabkan pendapatannya terjejas hingga terpaksa menangguh bayar sewa rumah.
“Saya bukan cerewet dalam memilih watak atau naskhah, sebaliknya ada projek yang diajukan hanya bermula pada bulan hadapan.
“Ada terima tawaran berlakon, tapi bukan waktu sekarang sebab ditunda mungkin bukan rezeki saya, sebab itu sewa rumah pun tertangguh, tapi tak bolehlah cakap berapa bulan, itu peribadi.
“Kereta pula tiada tunggakan sebab dulu beli tunai, cuma risau susahkan tuan rumah dan dalam keadaan sekarang, tawaran kecil pun saya terima,” tambahnya.
Dalam pada itu, Azri mengharap orang ramai berhenti menabur fitnah kepada dirinya dan menjalani kehidupan masing-masing dengan tenang.
Baca juga: Penaja tarik diri saat akhir, Karl Shafek dedah terpaksa tanggung hutang hampir RM500k