Malaysia Dateline

Kalau bukan Istana, sidang Parlimen depan penentu keabsahan PM

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menjangkakan institusi Parlimen bakal menjadi medium kata pemutus yang akan menentukan kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, sama ada penentunya adalah Istana mahupun Parlimen, kedua-dua gelanggang itu boleh menentukan keabsahan seorang Perdana Menteri dan kerajaannya apabila timbul sebarang pertikaian.

Malah katanya, disebabkan Istana menutup pintunya selama dua minggu, maka mata rakyat kini tertumpu kepada arena baru iaitu gelanggang Parlimen.

“Dijangkakan institusi Parlimen dijadikan sebagai medium kata pemutus krisis kepimpinan negara hari ini.

“Jika andaian ini benar, proses verifikasi dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti, akan berlaku mengikut proses di Parlimen dan bukan di istana bermula pada 2 November ini.

“Jikalau proses usul tidak percaya berjaya dibawa sebelum Bajet 6 November, ini bermakna Bajet 2021 akan dibentang oleh kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, amaran keras ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung usul undi tidak percaya, menimbulkan desas desus mengaitkan dirinya sedang merancang sesuatu yang mungkin atau tidak berpihak kepada Anwar.

Mujahid dalam catatan awalnya turut mengakui, situasi ketika ini menimbulkan tanda tanya sama ada ianya pertarungan antara Ku Li dan Anwar, atau gabungan keduanya untuk menggulingkan kerajaan Muhyiddin.

Namun menurutnya, ahli Parlimen Umno itu bertindak sedemikian berikutan dakwaan serius Presiden PKR itu bahawa Muhyiddin tidak lagi mempunyai sokongan kukuh sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ini dikuatkan lagi apabila usul tidak percaya yang pernah dibawa sebelum ini, menerima layanan hambar oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Tindakan Ku Li juga mengingatkan Muhyiddin untuk membuktikan sebaliknya jika mahu meneruskan memimpin negara kerana dakwaan Anwar kini menjadikan Muhyiddin sudah tidak ada kuasa lagi untuk mentadbir negara.

“Ku Li sampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan PN sudah hilang tapak moralnya dan telah menodai kebebasan institusi Parlimen dengan ‘penyogokan’ jawatan dalam kalangan ahli Parlimen sekaligus menjejaskan tujuan undian yang bebas di parlimen 48 (1)(c).

“Amaran keras kepada Speaker pula bertujuan supaya Speaker sedar bahawa setiap urusan kerajaan melalui kelulusan Parlimen, menjadi tidak relevan selagi keabsahan ketua eksekutif negara iaitu PM tidak ditentukan kedudukannya sedari awal,” katanya lagi.